GUA MUSANG: Kerajaan mengajak semua pihak untuk berganding bahu dan terus istiqamah dalam membantu menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu selari hasrat yang telah digerakan oleh kerajaan ketika ini.
“Oleh itu, kita turut mengharapkan kerjasama daripada baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat merealisasikan perkara ini.
“Bagaimanapun, setiap tahun akan ada yang wujud masyarakat daif dan asnaf sebab garis kemiskinan itu akan bertambah berdasarkan kepada kos sara hidup,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kelantan di Taman Etnobotani Gua Musang di sini hari ini.
Ahmad Zahid memberitahu, beliau berharap semua pihak tidak mempolitikan isu itu kerana kemiskinan berlaku di seluruh negara di dunia ini.
Katanya, semua pihak perlu istiqamah dalam menjayakan hasrat kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar.
“Pada tahun ini seramai 130,000 isi rumah telah dikategorikan sebagai miskin tegar.
“Bagaimanapun, semasa pembentangan belanjawan jumlah itu telah turun kepada 18,000 isi rumah,” ujarnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat berkata sebanyak RM500 juta disediakan untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi menambah pendapatan mereka.-UTUSAN