PETALING JAYA: Pelakon, Ashraf Muslim berpendapat golongan selebriti atau pempengaruh tidak perlu gusar soal rezeki lantaran memuat naik pernyataan sokongan terhadap rakyat Gaza, Palestin yang sedang berjuang menentang kekejaman regim Zionis.
Kongsi Ashraf, peluang dan kesempatan terbaik ini seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh seorang muslim kerana inilah masa kita menunjukkan solidariti dan perjuangan dalam membantu saudara sesama Islam walaupun hanya dengan penyebaran berita dan doa.
“Nak takut kenapa? Kalau apa yang kita buat itu betul, tak payah takut. Mungkin ada yang kurang suka, tetapi niatlah kerana Allah. Niatkan kerana Islam. Kita kena buat sebenarnya, bantu mereka.
“Mereka di sana sedang berjuang dan kita di sini memberi bantuan. Jika ada rezeki, berikan bantuan kewangan. Jika tidak, sebarkan kebenaran. Panjatkan doa supaya Tuhan bantu mereka.
“Tetapi saya lihat solidariti kita sangat tinggi. Ini adalah satu tanggungjawab. Kita mungkin tidak boleh beri bantuan tenaga tetapi, kita ada ruang untuk bersuara. Tak perlu takut soal rezeki ini, Allah ada,” ujarnya.
Pelakon itu ditemui ketika majlis pelancaran program drama baharu, Nak Dengar Cerita Hantu? terbitan Unifi TV Original di sini semalam.
Sementara itu, Ashraf tutur mengakui hantarannya berhubung Palestin sudah beberapa disekat dan dipadam secara automatik.
“Saya takkan berhenti walaupun ada beberapa hantaran yang dipadam secara tiba-tiba. Saya biarkan sahaja. Teruskan sahaja.
“Tak beri kesan pun kepada saya. Selagi kita ada ruang untuk kongsi dan sebarkan kebenaran, kita teruskan,”ujarnya.