Kembar seiras teruja kongsi pentas konvokesyen

Kembar seiras teruja kongsi pentas konvokesyen

MUHAMMAD Amir Aziz (dua dari kiri) dan kembarnya, Muhamad Amirul (dua dari kanan) bersama ibu bapa mereka pada Majlis Konvokesyen UTP ke-23 di Dewan Canselor UTP, Seri Iskandar semalam. - UTUSAN//LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Sepasang kembar seiras yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan mencuri tumpuan pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) ke-23 di Dewan Canselor di sini semalam.

Pasangan tersebut, Muhamad Amir Aziz, 23, merupakan antara penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal manakala adiknya, Muhamad Amirul, merupakan antara penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. 

Menurut Muhamad Amirul, dia gembira kerana dapat menghadiahkan kejayaan kepada kedua ibu bapa sehingga berjaya naik ke pentas menerima ijazah bersama-sama. 

“Kami sentiasa bersama dari dalam perut lagi, tidak pernah berpisah. 

“Namun, pada peringkat ijazah ini, kami memilih jurusan yang berlainan atas minat masing-masing,” katanya.

Pasangan kembar yang berasal dari Langkawi, Kedah itu berkata, setelah 23 tahun bersama-sama, mereka akan membawa haluan masing-masing dengan bekerja di syarikat berbeza. 

Katanya, mereka tidak pernah berpisah sejak belajar di sekolah menengah lagi iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi tetapi memilih untuk menetap di bilik asrama yang berbeza. 

“Di UTP pun, kami pilih bidang yang berbeza dan sudah tentu tempat serta persekitaran pekerjaan pun akan berbeza nanti,” katanya. 

Muhamad Amir berkata, dia berhasrat untuk bekerja di syarikat minyak dan gas manakala adiknya, Muhamad Amirul telah pun mendapat pekerjaan di sebuah syarikat elektronik di Bayan Lepas, Pulau Pinang. 

“Adik saya sudah bekerja setelah tamat latihan industri manakala saya masih mencari peluang pekerjaan. Kalau boleh, saya nak kerja dalam syarikat minyak dan gas,” katanya. 

Sementara itu, ibu mereka yang juga bekas pesara guru, Ku Shariyah Ku Shaari, 59, bangga dan bersyukur kerana anak kelima dan keenamnya itu berjaya menamatkan pengajian dalam bidang yang mereka minati. 

“Saya rasa bangga dan bersyukur anak kembar saya berjaya menggenggam segulung ijazah bersama-sama. 

“Harapan dan doa saya adalah supaya anak kelima dan bongsu saya ini dapat kerja yang baik dan berjaya di dunia mahupun akhirat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya