Kemalangan: Pemandu lori direman 4 hari - Utusan Malaysia

Kemalangan: Pemandu lori direman 4 hari

PEMANDU lori yang terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan seorang pelajar maut di Kilometer 13.5, Jalan Batu Pahat-Kluang dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang pemandu lori yang menyebabkan kematian seorang pelajar maut dalam kemalangan di Kilometer 13.5, Jalan Batu Pahat-Kluang semalam ditahan reman empat hari bermula hari ini. 

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 33 tahun itu dikeluarkan Majistret Batu Pahat, Suhaila Shafiuddin yang membenarkan permohonan polis untuk membantu siasatan lanjut kes tersebut.

Lelaki warga tempatan itu ditahan reman di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum itu, dia yang memakai baju  berwarna hitam tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.30 pagi dengan diiringi anggota polis. 

Semalam Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam kejadian pukul 7.20 pagi itu, mangsa, Shahrunizam Mohd Shamsul, 17, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah lori yang membuat pusingan U.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke sekolah dari kediamannya di Parit Sulong.

Shahrunizam yang mengalami cedera parah di kepala serta badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN