SEREMBAN: Seramai 1,900 orang atlet akan bersaing dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-63 yang berlangsung di negeri ini selama lima hari bermula esok.
Bakal berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi dan fasiliti di Universiti Sains Islam Malaysia dekat Nilai, kesemua atlet dari 16 kontinjen seluruh negara itu akan merebut sebanyak 470 pingat daripada 24 jenis acara yang dipertandingkan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Dr. Roslan Husin berkata, kesemua peserta terdiri atlet lelaki dan perempuan berusia antara 12 hingga 18 tahun.
“Kejohanan ini merupakan yang terbesar dalam kalendar sukan kebangsaan bagi peringkat akar umbi. Kami berharap kejohanan ini menjadi platform meraih kejayaan dan pengalaman berguna kepada para atlet,” katanya.
Katanya, acara sukan padang yang akan dipertandingkan termasuklah lempar cakera, lompat tinggi, lompat jauh, lontar peluru, rejam lembing, lompat kijang, lombol bergalah dan tukul besi manakala acara balapan pula melibatkan jalan kaki, larian 100 meter (m), 200m, 400m, 1,500 m, 4×100 m, 4×200 m, 4×400 m, lari berpagar dan lari berhalangan.
Tambah beliau,mMajlis perasmian pembukaan kejohanan itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini malam ini.
“Sebagai tuan rumah kejohanan tahun ini, kami telah merancang penampilan istimewa sebagai tarikan kepada orang ramai hadir bagi memeriahkan acara pembukaan ini.
“Datang dan saksikan sendiri penampilan istimewa ini dan sama-sama menyokong anak-anak kita bersaing dalam kejohanan terbesar di peringkat sekolah ini,” katanya,-UTUSAN.