Kebakaran belukar terburuk dalam tempoh tiga tahun - Utusan Malaysia

Kebakaran belukar terburuk dalam tempoh tiga tahun

ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran belukar di jalan pintas Sebana Cove-Punggai, Pengerang, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kebakaran belukar di kawasan jalan pintas Sebana Cove-Punggai yang melibatkan keluasan 32 hektar sejak empat hari lalu disifatkan paling buruk dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin meminta masyarakat setempat lebih peka dengan situasi yang sedang berlaku dan mengutamakan kesihatan diri.

“Dalam tempoh tiga tahun, ini adalah kebakaran paling teruk pernah berlaku dengan kampung berhampiran hanya terletak kira-kira satu kilometer, namun setakat ini asap kebakaran tidak menghala ke kampung. 

“Walau bagaimanapun, dengan arah angin yang tidak menentu kita harap agar penduduk menggunakan pelitup muka ketika keluar rumah supaya tidak berlaku masalah kesihatan.

“Dipercayai kebakaran berpunca daripada kes kebakaran kecil tetapi tiada pemantauan menyebabkannya merebak besar. Kita juga minta agar orang ramai berhati-hati ketika melakukan aktiviti membakar dan pantau supaya tidak timbul masalah seperti ini,” katanya ketika ditemui di pangkalan operasi di jalan pintas Sebana Cove-Punggai,  di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Zon 2 Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Penguasa Bomba, Rasidi Md. Yunos berkata, 70 peratus daripada 32 hektar hutan belukar yang terbakar telah pun berjaya dipadamkan.

Katanya, pada peringkat awal operasi pemadaman, pihaknya berdepan cabaran ekoran keadaan cuaca dan angin kuat yang menyebabkan api merebak dengan mudah.

“Namun, dengan strategi taktikal menggunakan dua buah helikopter daripada bomba dan Maritim Malaysia untuk taktik ‘fire break’ telah berjaya mengawal api daripada merebak sehingga kini keluasan kebakaran masih kekal dan banyak kawasan terbakar telah dipadamkan. 

“Sebagai langkah keselamatan untuk penduduk setempat penutupan jalan pintas Sebana Cove ke Punggai juga dilakukan sejak hari kedua kebakaran ekoran asap tebal yang dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya,” katanya. 

Katanya kira-kira 60 anggota daripada pelbagai agensi dikerahkan dalam operasi memadam kebakaran yang berbaki kira-kira sembilan hektar itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya