SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan tiga kes berkaitan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan merampas dadah bernilai RM25.5 juta.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, tiga kejayaan terbaharu itu berlaku di antara 11 hingga 20 Oktober lalu melibatkan dadah seberat 370.8 kilogram.
Jelas beliau, bagi kes pertama, ia melibatkan rampasan dadah berbahaya jenis Ketamine pada 11 Oktober lalu kira-kira pukul 4.30 petang apabila sepasukan anggota Kastam daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menahan seorang lelaki warga tempatan di belakang premis yang terletak di Petaling Jaya, Selangor bersama sebuah kenderaan jenis trak pengangkut.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas trak pengangkut berkenaan menjumpai empat empat buah kotak yang mengandungi ketulan mampat berwarna putih yang mengandungi dadah jenis Ketamine.
“Berat kasar dadah yang dirampas adalah 91.05 kilogram dan nilai anggaran rampasan adalah RM5.4 juta. Modus operandi sindiket bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan mengikrarkan dagangan sebagai pelekat jubin dan menukar alamat penerima di saat akhir sebelum penghantaran dibuat.
“Siasatan awal mendapati dagangan ini dimport melalui laluan udara dari negara Eropah dan tiba di negara ini sebagai destinasi terakhir,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Kampung Jijan, Nilai di sini, hari ini.
Menurut Sazali, penahanan lelaki berusia 42 tahun itu hasil operasi khas penghantaran terkawal yang dijalankan hasil penemuan awal di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor.
Rentetan tangkapan pertama itu, Sazali berkata, pihak Kastam kemudian telah berjaya merampas dadah berbahaya jenis Methamphetamine pada 13 Oktober lalu hasil penahanan satu dagangan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor yang dialamatkan ke sebuah rumah kosong tidak berpenghuni di Petaling Jaya, Selangor.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas dagangan terbabit mendapati sebuah kotak yang mengandungi ketulan mampat yang berwarna putih kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine yang disorok di dalam peket makanan anjing.
“Berat kasar dadah yang dirampas adalah 10 kilogram dan nilai anggaran rampasan adalah RM330,000. Siasatan awal mendapati dagangan berkenaan dimport melalui laluan udara dari negara Eropah serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi terakhir,” katanya.
Sementara itu, Sazali berkata, dalam kes berasingan, Ibu Pejabat JKDM dengan kerjasama Pasukan Medan Tempur Operasi Kastam (Cobra) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa melibatkan rampasan pil ekstasi yang mengandungi dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) pada 20 Oktober lalu.
“Dua orang lelaki warga tempatan berusia 44 dan 57 tahun telah ditahan di sebuah stesen minyak di Damansara, Selangor. Hasil pemeriksaan ke atas lori suspek menjumpai dua buah kotak kayu yang disorokkan guni-guni yang mengandungi sejumlah pil ekstasi dan berat kasar dadah yang dirampas adalah 269.75 kilogram dengan nilai anggaran rampasan adalah RM19.8 juta.
“Turut disita sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire dan sebuah lori. Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyorokkan bahan disyaki dadah di dalam dua buah kotak kayu yang diikrarkan sebagai mesin,” katanya lagi yang memaklumkan barangan dagangan berkenaan masuk menggunakan laluan udara dari sebuah negara Eropah dan telah transit melalui sebuah negara di Timur Tengah dan tiba di negara ini sebagai destinasi terakhir.
Menurutnya, kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran di seluruh negara ini dan tiga kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. –UTUSAN.