Kanak-kanak mangsa dera kini di bawah jagaan JKM - Utusan Malaysia

Kanak-kanak mangsa dera kini di bawah jagaan JKM

KHAIRIN-NISA ISMAIL melawat kanak-kanak lelaki yang disyaki mangsa dera bapa kandung yang dirawat di HSA, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kanak-kanak lelaki yang disyaki menjadi mangsa dera bapa kandung serta teman wanitanya kini berada di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail berkata, mangsa yang berusia tujuh tahun itu kini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

“Selepas keluar hospital pihak JKM akan menjaganya sebelum berhubung dengan ahli keluarga kanak-kanak berkenaan. Sekiranya penilaian dibuat dan mendapati ibu kandungnya layak, JKM akan serahkan hak penjagaan kepadanya.

“Sebelum itu, kita perlu mengikut prosedur dan syarat yang sudah ditetapkan dalam soal hak penjagaan ini,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu Khairin-Nisa melawat kanak-kanak itu di HSA diiringi Timbalan Pegawai Kebajikan Masyarakat, Herman Untam; Pelindung Kanak-Kanak JKM, Zaid Ikhwan Lim dan Presiden Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (Jewel), V. Thanam.

Kelmarin media melaporkan kanak-kanak itu yang didera sejak enam bulan lalu berjaya diselamatkan selepas pengadu yang juga jirannya menyedari perbuatan itu dan memaklumkan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Pengasas Pertubuhan Kebajikan Komuniti Johor, M Caren Nantheny, 46, mangsa tinggal bersama bapa kandung dan teman wanitanya itu bersama anak wanita berkenaan yang berusia tiga tahun di Taman Pulai Jaya, Skudai, di sini.

Phaknya dan Persatuan Penduduk India Kangkar Pulai meminta bantuan polis dan JKM selepas suspek tidak memberikan kerjasama apabila mereka mahu melihat keadaan mangsa sebelum kedua-dua individu berusia 37 dan 39 tahun diberkas pada petang Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Khairin-Nisa memberitahu, komuniti setempat perlu memainkan peranan dengan melaporkan sebarang tindakan penderaan terhadap kanak-kanak atau wanita di kawasan masing-masing kepada pihak polis.

Komuniti setempat boleh melaporkan sebarang bentuk penderaan dan penganiayaan menerusi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam.

Katanya, bapa kandung dan teman wanitanya kini direman bagi membantu siasatan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya