JPJ sita lori sampah dipandu warga asing tiada lesen memandu - Utusan Malaysia

JPJ sita lori sampah dipandu warga asing tiada lesen memandu

SEBUAH lori sampah yang dipandu warga asing tanpa lesen disita JPJ ketika pemeriksaan di Kawasan Perindustrian Nilai, Seremban pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah syarikat pembersihan berani mengambil risiko apabila menggajikan warga asing tanpa lesen memandu (CDL) dan lesen vokasional (GDL) sebagai pemandu lori sampah dalam pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di kawasan Perindustrian Nilai di sini pagi tadi.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, perkara itu mengundang padah apabila pihaknya bertindak menyita lori sampah itu selain pemiliknya dikenakan saman dalam pemeriksaan pada pukul 7 pagi.

Hanif Yusabra berkata, semakan turut mendapati lori sampah dipandu seorang lelaki warga Indonesia itu sudah tamat cukai jalan dan tiada perlindungan insurans.

“Penyitaan ini dibuat mengikut peruntukan Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana melakukan kesalahan tiada lesen memandu GDL, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans.

“Pemandu lori sampah warga Indonesia itu dan pemilik kenderaan telah dikenakan saman atas kesalahan berkenaan menurut Seksyen 26(1), 57, 23(1) dan 90(1) APJ 1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelas beliau, JPJ juga menyerahkan pemandu lori dan seorang kelindan yang gagal mengemukakan sebarang pengenalan diri kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk semakan dan tindakan lanjut menurut peruntukan di bawah akta agensi berkenaan.

“Penguatkuasaan ke atas pemandu warga asing akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan mereka mematuhi peraturan dan undang-undang yang yang ditetapkan.

“Dalam masa yang sama, pengusaha syarikat pengangkutan diingatkan supaya menggunakan pemandu yang mempunyai lesen memandu yang sah sebagai pemandu kenderaan mereka supaya tidak membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Tambah beliau, pemilik kenderaan juga perlu memastikan kenderaan yang digunakan di atas jalan raya mempunyai LKM dan insurans yang berkuatkuasa agar tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya