SEREMBAN: Kontinjen Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) muncul johan keseluruhan bagi Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-63 tahun 2023 yang berakhir hari ini.
Selepas lima hari kejohanan, Johor meraih 15 pingat emas, sembilan perak dan serta 10 gangsa.
Tempat kedua pula menjadi milik kontinjen Sabah yang memperoleh 12 pingat emas, 17 pingat perak dan 15 gangsa manakala kontinjen Selangor di tempat ketiga dengan meraih 11 emas, 20 perak dan sembilan pingat gangsa.
Dalam pada itu, seperti diramalkan, jaguh 110 meter lari berpagar dari Johor, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau, 17, dan pemenang lima pingat emas iaitu Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, 15, dari Terengganu masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati kejohanan ini.
Muhammad Hazriq yang berjaya meraih dua emas dalam kejohanan ini selain berjaya mengatasi rekod Sukan Sekolah Asean menerusi catatan masa 12.46 saat dalam acara 110 meter lari berpagar memberitahu, anugerah yang diterimanya hari ini merupakan pembakar semangat untuk meraih kejayaan lebih besar kelak.
“Ia menjadi satu hadiah buat diri saya, ini sebenarnya adalah permulaan, saya akan cuba mengikuti latihan serta sedaya upaya untuk mencapai ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Izzatul Musfirah mengakui anugerah yang diterima itu melengkapkan kejayaannya dalam kejohanan ini selepas dia berjaya meraih lima emas selain dua kali mencipta dua rekod baharu kejohanan secara peribadi iaitu 200 meter lari berpagar dan 200 meter perempuan bawah 15 tahun.
“Alhamdulillah saya bersyukur dapat menjadi peserta terbaik bawah 15 tahun. Saya mahu hadiahkan kejayaan ini kepada kedua ibu bapa saya, jurulatih iaitu Cikgu Azman dan Cikgu Sarah.
“Tanpa doa dan sokongan mereka saya tidak akan sampai ke peringkat ini. Insya-Allah saya cuba menjadi wakil Malaysia satu hari nanti,” katanya lagi.
Kesemua anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying pada Majlis Penutupan Kejohanan Olahraga MSSM 2023 yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini petang tadi.
Dalam pada itu, Hui Ying ketika berucap berkata, kejohanan Sukan MSSM dianjurkan setiap tahun adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada semua atlet dan murid yang berpotensi untuk menunjukkan bakat serta kebolehan mereka di pentas kejohanan tertinggi.
“Pemilihan atlet murid dan pegawai ke kejohanan MSSM adalah satu pengiktirafan tertinggi kepada mereka yang telah mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan pada peringkat daerah mahupun negeri,” katanya.-UTUSAN.