SEREMBAN: Pasukan Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) mendominasi acara 4×100 meter apabila meraih tiga emas dalam perlumbaan akhir acara itu pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-63 petang tadi.
Johor meraih johan menerusi pasukan lelaki bawah 18 tahun, perempuan bawah 18 tahun dan lelaki bawah 15 tahun. Lebih manis, kuartet lelaki bawah 18 tahun dan perempuan bawah 18 tahun Johor turut berjaya memecah dan mencipta rekod baharu kejohanan..
Pemenang pingat emas 100 meter, Danish Iftikhar Muhammad Roslee mengetuai barisan pelari 4×100 meter lelaki bawah 18 tahun Johor yang memenangi emas dengan catatan masa 40.97 saat.
Pasukan Johor yang turut dibarisi pemenang emas acara 110 meter lari berpagar, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau, Daniel Alonso Anak Lidi dan Muhammad Danish Nabil Kamarudin memecahkan rekod acara iaitu 41.29 saat yang dilakukan pasukan Sabah dalam kejohanan tahun lalu.
Kuartet Sabah pula berpuas hati dengan pingat Perak namun dengan masa lebih baik berbanding tahun lalu iaitu dengan catatan 41.20 saat. Pingat gangsa pula dimenangi kuartet Sarawak dengan masa 41.84 saat.
Danish Iftikhar dalam pada itu memberitahu, mereka sangat gembira dapat meraih emas tersebut dan lebih membanggakan berjaya memecahkan rekod kejohanan.
“Memang kami tak sangka dapat emas bersama dengan rekod baharu apatah lagi bertarung dengan pasukan Sabah yang merupakan pemenang tahun lalu. Alhamdulillah ini rezeki yang Allah berikan.
“Ini kejayaan kami bersama dan kami saling percaya kebolehan antara satu sama lain, kami ucapkan terima kasih atas doa semua dan terima kasih kepada ibu bapa, keluarga serta tentunya jurulatih kami masing-masing,” katanya.
Sementara itu, kuartet 4×100 meter perempuan bawah 18 tahun Johor yang dibarisi pelari, Mis’ Ezatul Shafieqa Sapawi, Nur Zalifah Sapawi, Anis Batrisyah Noriezad dan Nabilah Natasha Azisyan berjaya meraih emas dan mencipta rekod baharu kejohanan dengan catatan masa 47.95 saat.
Pingat perak pula dimenangi pasukan Sabah dengan masa 49.11 saat manakala pasukan Perak meraih pingat gangsa dengan catatan masa 49.20 saat.
Johor juga meraih emas bagi acara 4×100 meter lelaki bawah 15 tahun apabila merakamkan masa 43.10 saat meninggalkan pasukan Sabah untuk pingat perak yang mencatatkan masa 43.19 saat manakala pingat gangsa dimenangi kuartet Sarawak.
Kuartet Terengganu pula memenangi pingat emas bagi acara 4×100 meter perempuan bawah 15 tahun dan pingat perak diraih pasukan Perak manakala pingat gangsa menjadi milik pasukan pelari dari Sabah.
Bagi acara yang sama untuk bawah 12 tahun lelaki dan perempuan pula, pingat emas masing-masing menjadi milik pasukan Sabah dan Selangor.-UTUSAN.