Johor Bahru perlukan LRT - Noorazam - Utusan Malaysia

Johor Bahru perlukan LRT – Noorazam

Mohd. Noorazam Osman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mahu kerajaan mempertimbangkan pembinaan sistem pengangkutan transit aliran ringan (LRT) bagi mengurangkan kesesakan yang semakin teruk di bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, kesesakan di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini meningkat, khususnya selepas projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) bermula.

Justeru, beliau mahu kerajaan menaik taraf sistem pengangkutan awam setempat supaya menjadi lebih efisien, sekali gus mengurangkan kesesakan.

“Sudah tiba masanya bandar raya ini dilengkapi dengan kemudahan LRT seperti di Kuala Lumpur atau di Singapura. Mungkin sebelum pembinaan RTS kita tidak melihat keperluan itu, tetapi sekarang tidak lagi kerana apabila RTS siap kelak, kita jangka seramai 10,000 pengguna akan menggunakan perkhidmatan itu setiap jam. 

“Jadi, terdapat keperluan mendesak untuk ditambah baik pengangkutan awam bagi menyokong RTS yang menghubungkan bandar raya ini dengan Singapura. Permintaan ini bukan hanya meliputi kawasan pentadbiran MBJB, tetapi sebaliknya kawasan Greater Johor Bahru yang turut meliputi Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini hari ini. 

Mohd. Noorazam berkata, pihaknya bimbang sekiranya sistem pengangkutan awam di pusat bandar raya ini tidak ditambah baik dengan segera, kesesakan yang berlaku akan berterusan.

“Johor Bahru unik kerana ia bersempadan dengan Singapura. Itu merupakan antara faktor kesesakan jalan raya, khususnya pada hujung minggu, selain itu disebabkan pelbagai projek pembinaan yang sedang giat dilaksanakan.

“Namun, MBJB akan berusaha untuk menambah baik perkhidmatan tempat letak kenderaan di lokasi bersesuaian selain turut menyediakan perkhidmatan bas pengantara bagi memudahkan pengguna,” katanya sambil mengakui sedia maklum dengan kesesakan di beberapa kawasan seperti di Lebuhraya Pasir Gudang dan Jambatan Permas ekoran kerja-kerja penyelenggaraan jalan.

Tanpa mahu menyalahkan pihak tertentu, Mohd. Noorazam berkata, kerja-kerja penyelenggaraan tersebut dilakukan tanpa dimaklumkan kepada MBJB kerana  melibatkan bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Namun tempiasnya pengguna menyalahkan MBJB ekoran kesesakan yang berlaku, kita maklum berhubung perkara itu dan berharap langkah-langkah kawalan trafik dapat dilakukan untuk mengurangkan kesesakan di kawasan terlibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya