PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) lebih proaktif terutama bagi kawasan-kawasan pedalaman sebagai usaha mengurangi kesulitan rakyat dalam mendapatkan bekalan beras.
Perdana Menteri berkata, agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) perlu bertindak sedemikian sebagai agensi pengedar susulan langkah intervensi yang diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kelmarin.
Perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 2 Tahun 2023 semalam yang turut berbincang berkenaan kawalan harga bagi ayam bulat standard dan telur ayam yang dilaksanakan sejak Februari 2022.
“Adalah penting supaya hala tuju kawalan harga ayam dan telur ini dapat dimuktamadkan bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sebanyak tiga Kertas Pertimbangan dan dua Kertas Makluman yang menjurus isu berkaitan kos sara hidup dibentangkan semasa mesyuarat tersebut.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, meskipun kadar inflasi dalam negara mereda kepada 2.0 peratus iaitu kadar terendah dalam tempoh hampir dua tahun, Kerajaan Perpaduan kekal komited meneruskan program-program intervensi melalui inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani.
Katanya, inisiatif ini diteruskan dengan kerjasama kerajaan negeri yang akan memanfaatkan rakyat dalam usaha berterusan Kerajaan Perpaduan menangani isu kos sara hidup rakyat.
“Kerajaan Perpaduan juga prihatin terhadap kepentingan rakyat ke atas akses bekalan ubat yang lebih kompetitif harganya supaya rakyat mengetahui harga yang perlu dibayar dan mampu untuk membuat pilihan.
“Adalah menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan untuk memastikan mekanisme penjualan ubat adalah lebih telus untuk manfaat rakyat melalui mekanisme paparan harga.
“Mesyuarat bersetuju supaya perkara ini diperincikan oleh kementerian sebelum dimuktamadkan,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan juga peka terhadap kemungkinan gangguan bekalan gula jika tiada tindakan segera dilaksana bagi menangani isu berkaitan peningkatan harga gula mentah dunia.
Sehubungan itu, katanya, kesemua perkara ini akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan hala tuju serta dimuktamadkan.
Mesyuarat turut mengambil maklum perancangan serta pelaksanaan Pangkalan Data Utama Kerajaan (PADU) oleh Kementerian Ekonomi. – UTUSAN