ARAU: Kira-kira 248,000 petani di seluruh negara berharap Belanjawan 2024 bakal memberi lebih tumpuan kepada nasib golongan tersebut yang menjadi nadi dalam menjamin isu keterjaminan makanan di Malaysia.
Antara yang digariskan para pesawah seperti meningkatkan peruntukan infrastruktur melibatkan saliran dan sebagainya yang juga merupakan antara perkara penting untuk petani apabila mengusahakan tanaman padi.
Selain itu, pesawah juga meminta kerajaan menambah subsidi skim insentif pengeluaran padi (SIPP) agar bersesuaian dengan situasi semasa berikutan semua input pertanian mengalami kenaikan harga.
HARGA SILING
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah, Sukardi Md. Dali berkata, kerajaan juga diminta mengkaji semula harga siling beras tempatan yang terlalu rendah ketika ini.
Katanya, apabila harga siling beras tempatan dinaikkan, secara tidak langsung, belian padi turut meningkat daripada RM1,200 pada masa ini kepada sekurang-kurangnya RM1,700.
“Bajet infrastruktur ini sememangnya perlu dinaikkan memandangkan di Perlis sahaja kebanyakkan saliran sudah berusia lebih 50 tahun. Peruntukan berkenaan perlu turut melibatkan bajet mencuci saliran ini yang selalu menjadi masalah.
“Subsidi SIPP juga penting dan perlu ditambah yang menjadi harapan kebanyakan para pesawah ini. Belanjawan 2024 ini perlu memberi lebih fokus kepada industri pertanian ini khususnya melibatkan para pesawah yang kehidupan semakin tertekan,” katanya.
Seorang lagi pesawah, Mohd. Nazri Subuh, 48, berkata, subsidi SIPP perlu ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya RM300 seperti sebelum ini.
BENIH
“Selain itu, subsidi lain seperti baja juga sudah tiba masanya ditingkatkan. Kehidupan pesawah sekarang sangat teruk dengan semua harga input pertanian mengalami kenaikan termasuk benih padi yang meningkat sekali ganda.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad pula berharap peningkatan harga siling beras tempatan, belian padi dan kadar harga benih padi yang sah dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
Beliau mencadangkan agar harga benih padi sah dinaikkan pada kadar RM45 hingga RM50 untuk 20 kilogram bagi setiap kampit bagi bersama-sama menjaga situasi pasaran. – UTUSAN