PETALING JAYA: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 dikeluarkan semalam menunjukan jaminan pinjaman syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah RM18.17 bilion sehingga akhir 2022.
Jaminan pinjaman tersebut terdiri daripada bon berjumlah RM13.170 bilion yang perlu dilunaskan pada 2023 dan bon berjumlah RM5 bilion yang akan matang pada 2039.
“Sebanyak dua bon 1MDB, iaitu 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) telah matang dalam tahun 2022.
“Prinsipal bon berjumlah RM15.524 bilion telah dilunaskan menggunakan dana Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AAMKA).
“Faedah pinjaman 1MDB yang berjumlah RM1.541 bilion pada tahun 2022 telah dilunaskan menggunakan peruntukan pembangunan berjumlah RM1.530 bilion dan dana AAMKA berjumlah RM11 juta,” menurut laporan LKAN 2022.
Menurut LKAN 2022, komitmen jaminan kerajaan secara keseluruhan berjumlah RM224.116 bilion pada 2022, berkurang sebanyak RM5.276 bilion atau 2.3 peratus berbanding 2021 yang berada pada RM229.392 bilion.- UTUSAN