Jambatan senget Kg. Perigi Acheh akan diroboh - Exco - Utusan Malaysia

Jambatan senget Kg. Perigi Acheh akan diroboh – Exco

MOHAMAD FAZLI MOHAMAD SALLEH (kanan) melihat kerosakan yang berlaku melibatkan struktur jambatan utiliti yang senget di Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri membuat keputusan untuk meruntuhkan struktur jambatan utiliti yang senget akibat mendapan tanah di Kampung Perigi Acheh di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerja-kerja merobohkan struktur itu dijangka diselesaikan menjelang akhir bulan ini.

Walau bagaimanapun, tindakan itu akan menyebabkan kerajaan negeri kerugian lebih RM1 juta melibatkan kos pembinaan asal struktur jambatan utiliti tersebut dan kos bagi meruntuhkannya.

“Kita dimaklumkan jambatan utiliti sepanjang 850 meter ini senget akibat mendapan tanah pada pukul 5 pagi, 17 Ogos lalu. Sehubungan itu, kita telah ambil keputusan untuk meruntuhkan terus struktur jambatan ini demi tujuan keselamatan.

“Perkara ini juga perlu dilakukan segera kerana jambatan yang senget itu bersebelahan dengan sebuah restoran dan jeti nelayan di perkampungan ini. Jadi, kita bimbang keselamatan penduduk setempat,” katanya selepas melawat jambatan berkenaan, di sini.

Mohamad Fazli berkata, tujuan asal pembinaan jambatan utiliti tersebut adalah sebagai laluan bagi kabel elektrik dan bekalan air ke kawasan kampung.

“Namun setelah jambatan utiliti itu diruntuhkan, utiliti berkenaan akan dipindahkan ke struktur jambatan utama yang berada di sebelahnya, struktur jambatan utama itu tiada kerosakan. Mengikut jadual asal, projek ini dijangka siap menjelang Disember 2024, namun kita berharap kontraktor terlibat akan dapat menyegerakan kerja-kerja pembaikan dan pembinaannya.

“Ini kerana pembinaan telah bermula sejak 2019 sebelum dihentikan sementara akibat pandemik Covid-19. Jadi, sudah beberapa tahun berlalu dan penduduk masih menggunakan jambatan sementara hingga hari ini,” jelasnya.

Sementara itu, penduduk kampung, Zaili Chik, 70, berharap projek tersebut dapat disegerakan demi kemudahan keluar masuk penduduk kampung.

“Kami bimbang juga kerana jambatan baharu ini belum siap tetapi sebahagian strukturnya sudah runtuh, mujurlah tiada pihak cedera dalam kejadian itu, Semua penduduk kampung ini berharap projek ini dapat disiapkan segera kerana jambatan itu adalah laluan utama keluar masuk ke kampung ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya