SEREMBAN: Jaguh pecut remaja dari Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, 15, menepati sasaran peribadinya untuk meraih lima emas pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-63 yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, petang tadi.
Ia selepas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, Terengganu itu membantu kuartet 4×400 meter perempuan bawah 15 tahun Terengganu meraih emas dalam acara akhir tadi.
Lebih manis, catatan masa 4 minit 03.55 saat yang dilakukan bersama Wan Nur Afrina Wan Osman, Nur Farisha Adreana Ardy Abdullah dan Marissa Maisyara Mazlan itu juga merupakan rekod baharu MSSM mengatasi rekod sebelum ini yang dilakukan kuartet dari Kuala Lumpur pada 2014 iaitu 4 minit 04.03 saat.
Pingat perak diraih kuartet dari Sarawak manakala pingat gangsa menjadi milik Johor.
Sementara itu, kuartet Johor memenangi emas bagi acara 4×400 meter lelaki bawah 18 tahun dengan catatan masa 3 minit 20.55 saat menewaskan kuartet Perak di tempat kedua manakala kuartet Sabah meraih pingat gangsa.
Johor turut meraih emas bagi acara sama untuk perempuan bawah 18 tahun pula manakala Perak dimenangi kuartet dari Sarawak manakala Kedah meraih pingat gangsa.-UTUSAN.