SEREMBAN: Jaguh pecut remaja dari Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira berjaya memecahkan dua rekod Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) pada saingan hari keempat Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-63 pagi tadi.
Ia menerusi acara akhir 200 meter lari berpagar perempuan bawah 15 tahun di mana dia mencatatkan masa 27.43 saat sekali gus emas ketiga yang diraihnya sepanjang kejohanan setakat ini.
Rekod tersebut memadamkan rekod sebelum ini yang dilakukan oleh Azreen Nabila Alias juga dari Terengganu pada tahun 2015 iaitu 27.56 saat.
Pada aksi separuh akhir acara 200 meter perempuan bawah 15 tahun, Izzatul Musfirah juga berjaya mencatatkan rekod baharu MSSM iaitu menerusi catatan 24.94 saat.
Dia memecahkan rekod berusia 20 tahun yang dilakukan oleh Fauziah Abd. Razak dari Perak yang pada ketika itu mencatatkan masa 25.09 saat.
Izzatul Musfirah kini berada di prestasi terbaik untuk memburu emas keempatnya dalam kejohanan ini menerusi acara final 200 meter perempuan bawah 15 tahun yang berlangsung pada pukul 2.50 petang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini.
Sebelum ini, dia berjaya meraih emas acara 100 meter perempuan bawah 15 tahun dan membantu kuartet 4×100 meter perempuan bawah 15 tahun Terengganu memenangi emas semalam.
Sementara itu, pemenang acara 100 meter lelaki bawah 18 tahun, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, 16, turut layak ke aksi akhir acara 200 meter yang akan berlangsung petang ini.
Ia selepas dia memenangi saingan separuh akhir ketiga pagi tadi dengan catatan masa 22.06 saat.
Danish Iftikhar turut memburu emas ketiganya petang nanti selepas dia turut membantu kuartet 4×100 meter lelaki bawah 18 tahun memenangi acara itu semalam dengan rekod baharu kejohanan berjaya dicatatkan.-UTUSAN.