Izzat Zaidi kritikal alami kemalangan di Cub Prix Malaysia - Utusan Malaysia

Izzat Zaidi kritikal alami kemalangan di Cub Prix Malaysia

IZZAT ZAIDI MD. SALEHAN dilaporkan dalam kritikal selepas mengalami kemalangan semasa sesi ‘Super-Pole’ perlumbaan Cub Prix Malaysia di Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelumba CKJ Racing Team, Izzat Zaidi Md. Salehan kini masih berada dalam keadaan kritikal selepas terlibat dalam kemalangan pada sesi ‘Super-Pole’ perlumbaan Cub Prix Malaysia di Iskandar Puteri, semalam.

Menurut Pengurus Pasukan CKJ Racing, Amer Saad, pelumba berusia 27 tahun itu mengalami patah tulang rusuk kiri dan pendarahan pada bahagian paru-paru.

Beliau berkata, Izzat Zaidi kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas menjalani pembedahan pada pukul 4 pagi tadi.

“Izzat masih lagi bergantung 100 peratus dengan mesin bantuan pernafasan selepas menjalani pembedahan.

“Menurut doktor, mereka akan tunggu dalam masa 48 jam untuk melihat sama ada masih terdapat pendarahan di paru-paru atau tidak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 26 saat di Facebook, dipercayai video kemalangan membabitkan pelumba tersebut yang menunjukkan jentera Yamaha yang dipacunya sewaktu sesi Super-Pole CP150 melanggar penghadang jalan dan terbabas ke pagar keselamatan di tepi litar.

Turut tular, hantaran isteri Izzat Zaidi di Instagram milik ‘elyshanorizal’ yang memohon orang ramai agar mendoakan suaminya yang selesai menjalani pembedahan dan bergantung 100 peratus pada mesin bantuan pernafasan.

Turut dimuat naik sekeping gambar dipercayai Izzat Zaidi yang dipercayai baru selesai pembedahan.

Amer memberitahu, keluarga Izzat Zaidi termasuk isterinya kini berada di HSA dan menunggu sama ada dibenarkan atau tidak untuk melawat pelumba berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkenaan kemalangan tersebut setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN