BENTONG: Satu berita baik bakal diumumkan hasil lawatan kerja Perdana Menteri ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, khabar gembira itu bukan sahaja untuk Malaysia, bahkan untuk negeri Pahang khususnya.
“Mudah-mudahan Insya-Allah, kita akan beri pengumuman yang penting bukan sahaja untuk Malaysia tapi untuk negeri Pahang.
“Saya tak beritahu Wan Rosdy (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) sebab nak buat kejutan untuk dia, tapi syaratnya menang (Pilihan Raya Kecil) Pelangai dulu.
“Kita akan umumkan satu berita yang sangat baik untuk negeri Pahang daripada UAE,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Simpang Pelangai di sini hari ini.
Anwar dijadualkan melakukan lawatan kerja ke UAE pada 5 Oktober ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, perkembangan baik yang dinantikan itu adalah hasil kerja keras pasukan jemaah menteri dalam Kerajaan Perpaduan selain faktor keyakinan pihak UAE terhadap kestabilan politik di Malaysia.
“Dia yakin sebab politik kita stabil. BN-PH bersama dengan GPS dan GRS dengan saling mempercayai,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan menambah peruntukkan untuk Pahang menerusi Belanjawan 2024 kelak bagi menyokong usaha kerajaan negeri menyediakan perumahan untuk generasi kedua Felda di negeri itu.
“Saya nak bagi jaminan Insya Allah dalam belanjawan kita, kita tambah peruntukan supaya program diteruskan,” katanya. – UTUSAN