HPU USIM dibina dalam tempoh lima tahun - Khaled - Utusan Malaysia

HPU USIM dibina dalam tempoh lima tahun – Khaled

MOHAMED KHALED NORDIN bergambar dengan penerima tabungan SSPN yang terdiri daripada anak-anak media pada Majlis Libat Urus KPT Bersama Media Zon Selatan 2023 di Hotel Renaissance, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kompleks Hospital Pengajar Universiti (HPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang akan dibina di Sedili, Kota Tinggi dengan kos RM938 juta bermula tahun depan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, HPU USIM itu akan dibina dalam dua fasa.

“HPU USIM ini memang kerajaan bersetuju untuk laksanakan dan ini kita mencari lokasi yang sesuai dan memilih reka bentuk yang sesuai dengan keadaan tanah di kawasan tersebut. Selepas itu, barulah kita akan lantik kontraktor menerusi proses tender, proses ini akan memakan masa dan bukan boleh terus dilaksanakan.

“Pembinaan HPU mengambil masa lima tahun, dengan pembinaan HPU ini, maka lengkapkan ekosistem pengajian perubatan di negara kita kerana semua fakulti perubatan universiti awam akan mempunyai HPU sendiri,” katanya selepas menghadiri Majlis Libat Urus KPT Bersama Media Zon Selatan 2023 di Hotel Renaissance, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Presiden Kelab Media Johor (KMJ), Mohamad Fauzi Ishak.

Mohamed Khaled berkata, pembinaan hospital pengajar itu akan memberi ruang kepada penuntut fakulti perubatan, khususnya USIM untuk mendapat latihan yang lebih baik dan sistematik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, pemilihan Sedili kerana kesesuaian lokasi yang membolehkan penuntut perubatan universiti terbabit mendapat pendedahan meluas, sekali gus menjalankan penyelidikan terhadap penyakit di kawasan sekeliling.

“Tidak memeranjatkan HPU dibina tidak bersebelahan dengan universiti terbabit, ini sama seperti HPU Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan HPU Universiti Sains Malaysia (USM) yang masing-masing tidak dibina bersebelahan kawasan universiti awam tersebut.

“Contohnya, HPU UIA tidak dibina bersebelahan UIA di Gombak, Selangor sebaliknya di Kuantan, begitu juga HPU USM tidak dibina di bersebelahan USM di Pulau Pinang tetapi di Kota Bharu, Kelantan. Di sini nanti kita nak tau apa penyakit dihadapi nelayan, orang Felda dan orang kampung, ini akan tambah pengetahuan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled memberitahu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah diperuntukkan sebanyak RM16.3 bilion dalam Belanjawan 2023. 

Katanya, menerusi peruntukan itu tiga  tonggak pengajian di bawah KPT, iaitu pengajian akademik, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di politeknik dan pakej pembelajaran sepanjang hayat di Kolej Komuniti akan dilonjakkan secara strategik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya