JOHOR BAHRU: Hospital Pakar KPJ Johor dan KPJ Healthcare University (KPJU) berjaya menjalankan pembedahan implan koklea terhadap telinga seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, baru-baru ini.
Pembedahan itu dijalankan Pakar Telinga, Hidung dan Tekak KPJ Johor, Prof. Madya Dr. Azida Zainal Anuar dan Naib Canselor KPJU, Prof. Emeritus Datuk Dr. Lokman Saim menggunakan teknologi Cochlear dari Amerika Syarikat.
Dr. Azida memberitahu, keluarga kanak-kanak perempuan itu memilih menjalani pembedahan tersebut kerana kaedah penggunaan alat bantu pendengaran sebelum ini tidak membantu pertuturannya.
“Bagi kes pekak kongenital sejak lahir, kanak-kanak boleh dipakaikan implan seawal usia setahun bagi memastikan perkembangan pertuturan yang baik. Namun, implan koklear adalah kaedah terbaik apabila alat bantu pendengaran gagal membantu sebaiknya.
“Selepas menjalani pembedahan ini, kanak-kanak berkenaan harus menjalani terapi pertuturan secara intensif untuk meningkatkan pemahaman mereka terhadap bahasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau menasihati ibu bapa supaya melakukan ujian saringan pendengaran terhadap anak-anak mereka seawal mungkin bagi memastikan sebarang masalah pendengaran dapat diatasi dengan segera.
KPJ Johor memaklumkan, pembedahan tersebut merupakan kali kedua dijalankan pihaknya selepas pertama kali pada tahun 2003.
KPJ Johor berkongsi kepakaran dengan KPJU dalam bidang perubatan telinga dan ia merupakan kejayaan kedua dengan hasil yang sangat membanggakan.
Implan koklea adalah alat elektronik yang dipasang di bahagian dalam kepala menerusi pembedahan bagi membantu individu yang bermasalah pendengaran untuk mendengar bunyi
Fungsi implan koklea berbeza dengan alat bantu pendengaran konvensional, iaitu alat bantu pendengaran konvensional berfungsi menguatkan bunyi, manakala implan koklea pula menggantikan fungsi koklea dalam bahagian telinga yang rosak bagi memproses bunyi untuk menghantar signal ke otak.
Berdasarkan statistik pendaftaran orang kurang upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat lebih 5,000 orang berusia antara enam hingga 18 tahun mengalami cacat pendengaran di negara ini. – UTUSAN