PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan editor buku kontroversi berjudul “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia”, Kean Wong untuk disiasat berhubung dakwaan menghina Jata Negara.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Siasatan/ Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan di bawah Sekyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ya, dia ditahan hari ini, berkaitan kes hina Jata Negara. Siasatan dijalankan di bawah Sekyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ringkas di sini hari ini.
Terdahulu, portal tempatan melaporkan Kean dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk disoal siasat mengikut Akta Hasutan selepas ditahan di pejabat imigresen Kelana Jaya semasa memohon pembaharuan pasport.
Pada 2020, PDRM menjalankan siasatan terhadap Kean berkaitan gambar kulit buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’, yang didakwa menghina Jata Negara.
Berdasarkan siasatan, penyunting buku itu memegang status Pemastautin Tetap (PR) Australia sejak lebih 10 tahun lalu sebelum dikesan menyambut perayaan Tahun Baru Cina di Malaysia bersama keluarganya pada awal tahun 2020 dan dia kemudian kembali semula ke Australia.
Lapan penulis buku itu serta pereka grafik, pelukis muka hadapan serta penasihat jualan turut dirakam keterangan berkaitan kes tersebut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- UTUSAN