BENTONG: Desas-desus bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri ini jika menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di sini hanya propaganda murahan gabungan itu.
Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli berkata, ini bukan masa untuk pimpinan politik terus ‘berpolitiking’ dan mencipta langkah kerajaan ‘tebuk atap’.
“Jika hanya berpolitik setiap masa dan mahu menukar kerajaan, ia hanya akan menjejaskan tumpuan kerajaan dan membuatkan rakyat kecewa.
“Tumpuan ketika ini harus diberikan kepada usaha mewujudkan perpaduan. Usah lagi mahu ‘tebuk atap’ dan tukar kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, gabungan itu mampu mengambil alih pentadbiran Pahang jika menang PRK DUN Pelangai, menerusi penyertaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan.
Muhyiddin dilaporkan berkata, PRK Pelangai perlu dijadikan tempat untuk rakyat khususnya pengundi Melayu memberikan isyarat jelas untuk mengubah kerajaan negeri.
Pengerusi PN yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menyatakan bahawa Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan menjadi menteri besar jika ia berlaku.
Ridzuan Hazimin berkata, cukup-cukuplah PN mahu menjadi kerajaan ‘pintu belakang’ dan ‘tebuk atap’ kerana era itu sudah berakhir.
“Berusahalah menjadi pembangkang yang baik agar kestabilan dan kemakmuran negara dapat dicapai bersama,” katanya. – UTUSAN