PONTIAN: Golongan penulis di negeri ini disaran menghasilkan buku tentang Penghujung Selatan Benua Asia di Tanjung Piai, dekat sini yang menggabungkan alam dan kemanusiaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, sebagai tarikan pelancongan utama, lokasi tersebut tentunya berupaya menarik minat para penulis untuk menterjemahkannya dalam bentuk puisi, syair dan gurindam, sekali gus dapat memperkenalkan lagi kawasan itu kepada masyarakat serta pengunjung luar.
Menurutnya, ramai penulis di dunia sering mengabdikan tempat-tempat yang mempunyai keistimewaan dan tarikan dalam tulisan mereka untuk menambah nilai supaya terus diingati oleh masyarakat.
“Umum mengetahui tentang Penghujung Selatan Benua Asia yang terletak di Tanjung Piai dan dikenali dalam sektor pelancongan tetapi kurang digambarkan dalam bentuk penulisan.
“Dengan menggabungkan antara alam dan kemanusian akan melahirkan hasil karya yang menarik dan mempunyai pengertian yang besar di sebalik nama ‘Penghujung Selatan Benua Asia’ ini,” katanya mewakili Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi merasmikan Festival Puisi Tradisional Penghujung Selatan Benua Asia (Putrasia 2023) anjuran Persatuan Penulis Johor (PPJ) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan di Tanjung Piai Resort, di sini.
Yang turut hadir Ketua Satu PPJ, Amiruddin Md. Ali Hanafiah dan Pengarah DBP Wilayah Selatan, Mohd. Riduan Wahab.
Jefridin berkata, kerajaan amat menghargai peranan golongan penulis yang menghasilkan karya-karya yang dapat mengubah minda masyarakat.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha yang dilakukan oleh PPJ bagi memelihara puisi tradisional supaya terus subur dan tidak pupus ditelan zaman di sebalik arus kemodenan.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan anugerah Aspirasi Sastera Benua Asia kepada Datuk Jasni Matlani, Mohd. Rosli Bakir dan Amiruddin berikutan usaha mereka memartabatkan syair di peringkat ASEAN.
Anugerah Ukhuwah Sastera Penghujung Benua Asia diberikan kepada Suraidin Sipan, manakala Hasmin Azroy menerima Anugerah Pewaris Sastera Penghujung Benua Asia.