KOTA BHARU : Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia (Cakna Palestin) sudah menghantar sumbangan berjumlah RM500,000 bagi membantu rakyat Palestin yang sedang ditindas oleh rejim Zionis ketika ini.
Setiausahanya, Nik Hamdi Abdul Ghani berkata, jumlah tersebut dihantar sebaik sahaja perang antara rakyat Palestin dengan Zionis itu tercetus beberapa minggu lalu.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan bekalan ubat-ubatan, makanan dan barangan keperluan sentiasa mencukupi.
“Bagaimanapun, bantuan berterusan sentiasa dihantar dan tidak menunggu perang tamat untuk berbuat demikian.
“Kebanyakan sumbangan yang kita hantar adalah untuk kebajikan dan pembangunan infrastruktur di sana. Sebenarnya banyak masjid, hospital dan sekolah di Palestin dibina menggunakan sumbangan bukan hanya dari Malaysia, malah seluruh dunia” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program Himpunan Dua Roda Untukmu Palestin (Hiroup 1.0) di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Nik Hamdi memberitahu, mengikut maklumat terkini yang diterima, Israel kini sedang meminta bantuan negara-negara lain supaya diadakan gencatan senjata dengan Palestin.
Katanya, hal ini kerana Rejim Zionis itu sendiri sudah dapat melihat bahawa serangan-serangan yang dilancarkan ke atas umat Islam di Palestin tidak boleh berterusan.
“Kerja-kerja membina semula infrastruktur yang musnah belum dapat dimulakan pada ketika ini berikutan situasi peperangan masih berterusan.
“Apabila di umumkan gencatan senjata nanti barulah kita akan salurkan sumbangan untuk infrastruktur dan pihak badan bukan kerajaan (NGO) di sana akan memulakan usaha membina semula masjid, sekolah dan fasiliti perubatan yang sudah musnah,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Kelab Motor Seranta Kelantan Suhazli Salleh berkata, sebanyak RM8,771 berjaya dikumpul dalam masa tiga jam menerusi Hirup 1.0.
Katanya, keseluruhan dana tersebut diserahkan kepada Cakna Palestin bagi meringankan bebanan serta penderitaan ditanggung oleh rakyat Palestin pada ketika ini.
“Usaha dan sumbangan ini adalah sebagai tanda solidariti kami kepada Palestin, sekali gus menyampaikan mesej bahawa semua ‘riders’ di Kelantan sentiasa bersama saudara se-Islam dan seluruh rakyat di negara itu.
“Kejayaan program ini sekali gus menunjukkan bahawa pemilik-pemilik motosikal di negeri turut cakna, sentiasa mahu menyumbang ke arah ke perkara-perkara bermanfaat serta aspek kebajikan dan kemanusiaan,” katanya.-UTUSAN