Guru besar didakwa terima rasuah

Guru besar didakwa terima rasuah

ZAILANI Harun (kanan, berbaju batik) semasa hadir untuk prosiding pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini.UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang guru besar sebuah sekolah di Tanah Merah dekat sini didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 10 pertuduhan menerima rasuah lebih RM8,000 apabila menggunakan jawatannya dengan memilih syarikat milik isterinya bagi membekalkan pelbagai tender bekalan peralatan sekolah, dua tahun lalu.

Tertuduh, Zailani Harun, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Dazuki Ali selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan.

Mengikut 10 pertuduhan itu, tertuduh didakwa menggunakan jawatan sebagai guru besar untuk mendapatkan suapan sebanyak RM8,032.30 dengan memilih syarikat milik isterinya, Rabbiatul Adawiyah Mustafar untuk membekalkan peralatan pejabat sekolah, peralatan sekolah, perkhidmatan bekalan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum sesi 2021/2022 dan perkhidmatan bekalan untuk sekolah.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah sekolah di Tanah Merah dekat sini pada 10 Januari 2021 hingga 5 Julai 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Tengku Nurul Haziqah menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 untuk kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Zailani dalam rayuannya memohon ikat jamin itu dikurangkan dengan memberi alasan bahawa dia sudah berkhidmat selama 33 tahun sebagai warga pendidik.

“Saya juga menanggung empat orang anak yang masih bersekolah dan menjaga kedua ibu bapa,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan selain menetapkan 20 November depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN