KOTA BHARU: Taktik licik seorang warga emas menggunakan pacuan empat roda dari negara asing dan menukarnya kepada nombor plat tempatan yang palsu untuk menyeludup minyak diesel terbongkar selepas diserbu anggota penguat kuasa di sebuah stesen minyak di Jalan Batu 2, Jalan Kuala Krai di sini semalam.
Serbuan pukul 6.40 petang itu dilakukan selepas anggota penguat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor serta unit kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu semasa melakukan Op Tiris.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, terhadulu anggota bertugas telah mengesan suspek berusia 69 tahun itu membuat pembelian pengisian minyak diesel secara berulang di beberapa buah stesen minyak.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut keatas kenderaan itu membawa kepada penemuan 125 liter minyak diesel yang telah di isi ke dalam tangki tambahan yang telah ubahsuai.
“Semakan awal kenderaan asing itu menggunakan nombor pendaftaran tempatan yang palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Nilai keseluruhan rampasan termasukan kenderaan dianggarkan berjumlah RM60,268.75. Suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Azman memberitahu, KPDN Kelantan akan mengambil tindakan tegas dalam usaha membendung kegiatan aktiviti tidak bermoral ini yang merugikan negara.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan serta di bawah bidang kuasa KPDN melalui saluran yang disediakan oleh kementerian.-UTUSAN