Gerakkan Tabung Khas Palestin Negeri Sembilan rumah ke rumah - Utusan Malaysia

Gerakkan Tabung Khas Palestin Negeri Sembilan rumah ke rumah

AMINUDDIN Harun (tengah) bersama kepemimpinan kerajaan negeri dan pengerusi serta setiausaha JPKK pada Majlis Amanat dan Penyampaian Pelantikan Watikah JPKK Negeri Sembilan Penggal 2023-2025 di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tabung Khas Palestin peringkat Kerajaan Negeri Sembilan akan digerakkan dalam masa terdekat melalui penglibatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebagai tanda solidariti dan keprihatinan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, itu merupakan tugasan pertama Pengerusi JPKK yang baharu dilantik bagi penggal kali ini selain komitmen bahawa tiada seorang pun rakyat negeri ini terkecuali memberikan sumbangan.

“Tabung itu nanti akan diedarkan kepada ketua-ketua kampung (Pengerusi JPKK) sebelum mereka membuat kutipan rumah ke rumah daripada penduduk negeri ini. 

“Ini sebagai komitmen kita yang benar-benar hendak tunjukkan bahawa tidak seorang pun rakyat di Negeri Sembilan terkecuali daripada menderma walaupun RM0.10 ataupun RM1,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan Penggal 2023-2025.

Menurut Aminuddin lagi, semangat kemanusiaan itu membuktikan bahawa orang Negeri Sembilan bukan sekadar bercakap tentang Palestin tetapi bersolidariti dan hasrat itu diharapkan sampai kepada masyarakat Palestin di Gaza.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan hari ini sangat kukuh dan akan terus menjalankan pelbagai agenda untuk rakyat termasuk menjadi sebuah negara Islam yang mendepani isu kemanusian di Palestin. 

“Malaysia berjaya membangkitkan kesedaran dalam kalangan negara-negara Arab untuk membantu konflik di Palestin. Ini disebabkan imej Malaysia kini dilihat sangat kukuh dan padu oleh negara-negara luar,” katanya. 

Dalam pada itu menurut beliau, sempena majlis itu kerajaan negeri telah memuktamadkan pengisian 394 Pengerusi dan 394 Setiausaha JPKK seluruh Negeri Sembilan termasuk dari 40 buah kampung baru di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). 

“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri agar semua kepemimpinan di peringkat akar umbi lebih cakna menyantuni masyarakat. Jadilah mata dan telinga kerajaan yang berkesan tanpa mengira sempadan politik atau bangsa,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya