Gerai itik salai punca sesak: MDKP ambil langkah menang-menang - Utusan Malaysia

Gerai itik salai punca sesak: MDKP ambil langkah menang-menang

MUHAMMAD Sufian Maradzi (enam dari kanan) dan Mohd. Faizal pada Majlis Penyerahan Kiosk@KPKT di pekan Tanjung Ipoh, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pihak Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) akan mengambil beberapa langkah situasi sama menang (win-win situation) dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas di Jalan Seremban-Kuala Pilah khususnya di kawasan Terachi di sini yang turut dikaitkan dengan deretan gerai jualan produk makanan termasuk itik salai.

Yang Dipertua MDKP, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, sejak lima tahun yang lalu juga, lebih 50 peniaga di tepi-tepi jalan berkenaan iaitu dari Ulu Bendul ke pekan Terachi telah ditempatkan semula di kawasan yang lebih selamat untuk berniaga bagi mengatasi masalah kesesakan tersebut.

Tambah beliau yang juga Pegawai Daerah Kuala Pilah, terbaharu pihaknya kini dalam usaha untuk menyiapkan Kompleks Budaya Terachi yang akan menyediakan 12 kiosk baharu dan sekali gus menempatkan peniaga terlibat ke lokasi tersebut yang akan lebih tersusun, selesa dan menarik.

“Sebelum ini, kami juga ada membuat penempatan semula peniaga di pusat-pusat perniagaan kecil seperti di pekan Juasseh dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Memang pada awalnya agak sukar untuk peniaga berpindah namun kita tawarkan pengurangan sewa dan sebagainya bagi menarik peniaga ini ke lokasi lebih selamat serta tersusun.

“Berdasarkan bancian tiga tahun lalu, seramai 200 peniaga tepi jalan direkodkan dari Ulu Bendul hingga ke pekan Kuala Pilah. 

“Bagaimanapun, bagi kita, gerai-gerai tepi jalan ini walaupun menimbulkan kesesakkan terutamanya kerana menjadi tumpuan pengguna jalan raya ke Pantai Timur, lokasi ini menjadi tarikan pelancongan serta mercu tanda Kuala Pilah dengan jualan pelbagai produk makanan, hasil-hasil kampung dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Penyerahan Kiosk@KPKT di pekan Tanjung Ipoh, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 24 kiosk yang diperoleh oleh pihak MDKP dari Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang kemudian diserahkan kepada peniaga-peniaga secara percuma.

MDKP antara lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah terpilih bagi fasa pertama projek berkenaan dengan penerimanya akan menyewa kiosk tersebut dengan kadar sewaan rendah serta diberikan pengecualian sewaan enam bulan. 

Sementara itu, seorang peniaga, Nurul Amirah Mohamad Ali, 29, berkata, dia gembira apabila terpilih untuk menerima kiosk tersebut kerana memudahkannya kerana tidak perlu lagi berulang-alik mengangkut barang-barang jualan.

“Saya sudah dua tahun berniaga nasi ayam dan kuih-muih di pekan Senaling. Apabila saya lihat kiosk ini diletakkan di pekan, saya terus tanya macam mana untuk memohonnya. 

“Rasa seronok sangat sebab semua barang niaga boleh diletakkan di dalam kiosk dan saya hanya perlu membawa makanan mentah sahaja,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya