KUANTAN: Polis negeri ini berjaya menumpaskan Geng Dan Lombok dipercayai didalangi oleh warga Indonesia dalam kes samun bersenjata di tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, dalam serbuan yang dilakukan pada 12 hingga 20 Oktober lalu oleh sepasukan polis Cawangan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Pahang dan Negeri Sembilan, lapan individu ditahan termasuk seorang wanita tempatan berusia antara 27 dan 48 tahun.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati seorang lelaki Indonesia dan wanita tempatan yang ditangkap itu merupakan pasangan suami isteri manakala enam lagi warga Indonesia adalah pekerja buruh ladang.
“Pasangan terbabit bertindak sebagai orang yang menyediakan kenderaan dan menjual barang kemas yang disamun Geng Dan Lombok terbabit.
“Geng Dan Lombok ini diketuai lelaki Indonesia berusia 43 tahun yang dikenali sebagai Dan dan pernah ditahan kerana melakukan jenayah samun di Felda Keratong, Rompin pada 2015 dan pernah menjalani hukuman penjara selama setahun serta diusir keluar ke Indonesia.
“Namun, tahun ini lelaki terbabit kembali ke negara ini secara haram dan melakukan jenayah bersama rakan lain yang tidak mempunyai dokumen dan pasport,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Modus operandi penjenayah terbabit mensasarkan rumah yang jauh dari jalan raya dan turut mencederakan mangsa serta merompak barang kemas dan wang tunai.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, dengan itu polis berjaya menyelesaikan 14 kes samun dan pecah rumah iaitu sembilan kes di Pahang, tiga kes di Terengganu dan dua kes di Negeri Sembilan.
Katanya, pihaknya merampas sebuah beg yang mengandungi senjata dan peralatan pecah rumah seperti parang, pisau, kuku kambing, lampu suluh, sabit dan teropong.
“Turut dirampas 20 unit telefon bimbit, beberapa utas jam tangan, barang kemas seperti gelang, loket, rantai dan cincin serta dua kenderaan iaitu kereta Perodua Bezza dan Myvi.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395/397/394 Kanun Keseksaan dan Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen dan kesemua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 25 Oktober ini,” katanya. – UTUSAN