Ganja: Dua sahabat terlepas hukuman mati - Utusan Malaysia

Ganja: Dua sahabat terlepas hukuman mati

EFFY SHARAFFI MUSZALI (kiri) dan Indra Ironi dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar ganja di Skudai Parade, tiga tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua sahabat mampu menarik nafas lega terlepas hukuman mati apabila dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di sebuah pusat beli-belah di Skudai, pada 2020.

Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Hayati Mat membuat keputusan itu terhadap Effy Sharaffi Muszali, 28, dan Indra Ironi Nasrun, 27, setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Dua sahabat itu dituduh mengedar dadah seberat 455 gram di tempat letak kereta di tingkat dua pusat beli-belah Skudai Parade kira-kira pukul 6 petang, 16 Julai 2020.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Noor Hayati dalam penghakimannya berkata, rantaian bukti terhadap barang kes itu terputus selepas pihak pendakwaan tidak dapat memberikan penjelasan tentang perkara berkenaan.

“Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap barang kes yang ditemui di bahagian bawah stereng sebuah kereta itu,” katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nasrudin Mohamed manakala Effy Sharaffi diwakili peguam bela, Nur Helmi A. Halim dan Indra Ironi diwakili peguam bela, Mohd. Tarmeze Mohd. Taib dan Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri.

Walau bagaimanapun, Noor Hayati memerintahkan Effy Sharaffi untuk membela diri bagi pertuduhan memiliki dadah jenis ganja seberat 10.14 gram di tempat dan lokasi yang sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maskimum lima tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Effy Sharaffi menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan itu ketika diperintah untuk membela diri.

Nur Helmi dalam hujahannya berkata, ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan pengakuan bersalah bertujuan untuk menjimatkan masa semua pihak setelah berada dalam tahanan sejak tiga tahun lalu.

Noor Hayati memerintahkan dia dipenjara tiga tahun dari tarikh tangkapan, iaitu 16 Julai 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN