Gagal lapor cukai pendapatan: Kontraktor dipenjara tujuh hari, penalti RM0.5j - Utusan Malaysia

Gagal lapor cukai pendapatan: Kontraktor dipenjara tujuh hari, penalti RM0.5j

CHONG Sing Chai (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan gagal mengemukakan borang nyata pendapatan dalam borang B bagi taksiran tahun 2017 hingga 2021 membabitkan nilai cukai pendapatan sebanyak RM124,702.64.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang kontraktor dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari, didenda RM25,000 serta dikenakan penalti khas hampir RM0.5 juta oleh Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas dua pertuduhan gagal mengemukakan borang penyata pendapatan dalam borang B bagi taksiran 2017 hingga 2021 membabitkan nilai cukai pendapatan sebanyak RM124,702.64.

Difahamkan, hukuman penjara bagi kesalahan tidak membayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pertama kali dikenakan terhadap pesalah di negara ini melibatkan kes itu.

Majistret, Noorhafizah Ishak menjatuhkan hukuman itu terhadap Orang Kena Saman (OKS), Chong Sing Chai, 69,  yang membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara itu berkuatkuasa bermula dari tarikh jatuh hukum hari ini dan sekiranya gagal membayar denda OKS boleh dipenjara lapan bulan selain penalti khas tiga kali ganda keseluruhan berjumlah RM498,810.56.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang B bagi tahun taksiran 2017 hingga 2021 pada atau sebelum 30 Jun pada tahun berikutnya kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri dengan tiada sebab munasabah yang membabitkan pendapatan bercukai berjumlah RM781,637.

Sehubungan itu, OKS telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 112( I A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali dan penalti khas sebanyak tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan.

Terdahulu, Majistret berulang kali bertanya kepada OKS sama ada dia bersedia dan faham dengan hukuman yang akan dikenakan, Sing Chai menjawab ya dan merayu kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman yang lebih ringan.

“Saya mengaku salah dan memohon maaf kerana gagal mengemukakan penyata pendapatan (Borang B) dari 2017 hingga 2021.  

“Ini pertama kali saya melakukan kesalahan, saya tidak mampu membayar cukai LHDN yang terlalu tinggi kerana usia saya sudah tua dan pendapatan sekarang tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa LHDN, Muhammad Afiq Ahmad Tajuddin memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap OKS kerana melakukan kesalahan berulang dengan gagal mengemukakan borang tafsiran B selama lima tahun. 

Muhammad Afiq berkata, kesalahan dilakukan OKS juga disifatkan sebagai berat dan serius kerana ada unsur mengelak membayar cukai. 

“Hukuman dikenakan harus setimpal dengan kesalahan OKS bagi memberi iktibar kepada masyarakat dan OKS tentang betapa seriusnya kesalahan tidak menghantar borang tafsiran pendapatan,” katanya.

OKS tersebut akan dimasukkan ke Penjara Jelebu selepas mahkamah mengeluarkan waran dan difahamkan dia telah membayar denda.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN