Gagal kutip sewa,  Perbadanan Aset Keretapi boleh rugi RM24.45 juta - Utusan Malaysia

Gagal kutip sewa,  Perbadanan Aset Keretapi boleh rugi RM24.45 juta

Laporan Audit Negara
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 mendapati, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) berpotensi kehilangan hasil berjumlah RM24.45 juta susulan kelemahan dalam kutipan hasil sewa hartanah. 

Menurut LKAN 2021, pengauditan dijalankan di RAC melibatkan kutipan hasil sewa hartanah mengikut tempoh perjanjian hingga 31 Dis 2022, meliputi 374 daripada 1,246 penyewa hartanah dengan lawatan fizikal dibuat terhadap 34 hartanah di Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Perlis dan Kelantan.

Kata laporan itu, hasil sewa sejumlah RM69.80 juta berjaya dikutip bagi 2021 dan 2022. 

“Bagaimanapun, terdapat kelemahan dalam kutipan hasil sewa hartanah dan RAC berpotensi kehilangan hasil sejumlah RM24.45 juta. Perkara ini berlaku disebabkan oleh kelemahan dalam perekodan, pemantauan dan penguatkuasaan. 

“Penemuan Audit mendapati hasil sewa hartanah sejumlah RM12.84 juta tidak dikutip; hasil sewaan hartanah sejumlah RM170,474 tidak dikutip mengikut perjanjian sewaan; hasil sewaan hartanah sejumlah RM12.67 juta tidak dikutip mengikut surat tawaran sewaan dan hasil sewaan hartanah sejumlah RM11.61 juta tidak dapat dikenakan kepada anak syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB),” menurut LKAN 2021. 

Sementara itu, pihak audit mengesyorkan pematuhan kepada peraturan kewangan melalui tindakan yang perlu dilaksanakan terhadap beberapa perkara bagi memastikan RAC berupaya menjana pendapatan berterusan melalui aset kereta api

Ia termasuk menguatkuasakan terma dalam perjanjian sewaan terhadap 12 penyewa yang mempunyai tunggakan, terutamanya bagi 10 syarikat sendirian berhad yang menjalankan perniagaan komersial.

Selain itu, pihak RAC disarankan supaya memastikan 54 penyewa dan lain-lain penyewa yang telah mengembalikan Surat Tawaran Sewaan disusuli dengan perjanjian penyewaan bagi menjamin kepentingan RAC dipelihara.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya