BUKIT MERTAJAM: Pelbagai pihak mahu Belanjawan 2024 yang dibentangkan hari ini benar-benar memberi impak lonjakan ekonomi negara bagi memastikan rakyat tidak bergelut untuk meneruskan kehidupan.
Kata mereka, kuasa membeli kebanyakan rakyat Malaysia ketika ini agak rendah berbanding sebelumnya yang memerlukan kerajaan memfokuskan kepada usaha memulihkan ekonomi.
Seorang peruncit, Aidil Fadzly Abdul Razak, 36, berharap ekonomi negara akan kembali stabil didorong oleh Belanjawan 2024 dan harga barangan juga dapat distabilkan.
PEMBEKAL
“Bagi peniaga runcit seperti saya, kami terpaksa mengeluarkan modal yang tinggi untuk mendapatkan barangan daripada pembekal. Nak naikkan harga, bimbang pelanggan terbeban. Kalau kekalkan harga jualan yang lama, saya pula rugi,’’ katanya.
Suri rumah yang juga peniaga kuih kecil-kecilan, Safiyah Baharom, 39, pula berharap kerajaan dapat mengawal barang keperluan asas seperti beras, tepung, gula dan minyak daripada terus naik hingga membebankan pengguna serta peniaga kecil.
“Sebenarnya, kamilah yang paling terkesan kerana kami adalah peniaga kecil dan pengguna pada masa yang sama. Saya harap tidak ada lagi kenaikan harga barang yang melampau selepas ini,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
SASARAN
Presiden Pertubuhan Usahawan Muslim Pulau Pinang, Datuk Dr. Muhamad Farid Saad berkata, dana yang disediakan untuk usahawan terutama perusahaan kecil dan sederhana (IKS) perlu dipastikan sampai ke sasarannya.
“Kebanyakan usahawan kecil ketika ini terpaksa meminjam bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan masing-masing. Ini tidak membantu mereka berkembang,’’ katanya.
Di Kangar, peniaga makanan mahu kerajaan melakukan sesuatu untuk mengurangkan kenaikan barang mentah yang melonjak lebih 50 peratus sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.
Katanya, pendapatan peniaga makanan kini tidak seperti dahulu apabila kebanyakannya hanya cukup-cukup makan atau pulang modal sahaja.
“Sekarang semua barangan naik seperti ayam, beras, bawang dan pelbagai lagi keperluan lain. Apabila meningkat, sudah susah untuk kembali turun. Selain harga naik, barangan juga sukar diperoleh,’’ katanya.
DRASTIK
Seorang lagi peniaga, Zaini Ismail berkata, dia tidak melihat kenaikan harga barangan ini akan dapat dikawal melainkan kerajaan melakukan langkah drastik menyelesaikan isu tersebut.
“Semakin hari, berniaga semakin tidak menguntungkan sedangkan kami juga mencari makan bagi menampung kehidupan harian. Isu kenaikan harga ini bagai tidak ada kesudahan,” kata peniaga roti canai itu.
Sementara itu, lebih 5,000 nelayan di Selangor mengharapkan bantuan diterima seperti subsidi, elaun sara hidup dan pelbagai kemudahan lain dikekalkan.
Mereka turut memohon kerajaan meneliti semula pemotongan subsidi diesel sebanyak RM20 juta kerana ia memberi kesan terutama kepada nelayan tradisional.
Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Omar Abdul Rahman berkata, sebarang perubahan yang menyebabkan pengurangan bantuan kepada nelayan akan memberi kesan yang besar kepada mereka.
Nelayan di Terengganu, turut meminta subsidi diesel bot nelayan dikekalkan bagi menggalakkan mereka meningkatkan hasil tangkapan sekali gus membantu menampung permintaan pengguna.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut, Tengku Harun Tengku Ismail berkata, bantuan subsidi diesel yang diterima sekarang adalah sebanyak RM1.65 seliter berbanding harga pasaran RM2.15 seliter.
Katanya, nelayan percaya harga ikan melambung lebih tinggi sekiranya subsidi diesel itu dikurangkan.
“Kira-kira 500 buah bot nelayan di Kuala Besut menerima subsidi diesel dan pengusaha bot nelayan mengharapkan kerajaan dapat mengekalkan subsidi tersebut,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Tengku Harun berkata, nelayan turut mengharapkan kerajaan dapat meningkatkan elaun sara hidup nelayan dalam belanjawan kali ini sejajar dengan kos sara hidup semakin meningkat sekarang ini.
Sementara itu, seorang penternak ikan dalam sangkar di Hulu Terengganu, Ahmad Fauzi Abdul Rashid, 58, berkata, kerajaan perlu menambah peruntukan dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan dalam Belanjawan 2024.
Katanya, menerusi peruntukan yang lebih besar, sumber makanan negara dapat ditingkatkan dalam memastikan keterjaminan makanan pada masa depan. – UTUSAN