BANGI: Empat pasangan kembar berkongsi detik gembira apabila mereka bersama-sama berjaya menamatkan pengajian dan menerima diploma masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Kolej Uniti Ke-20 di sini semalam.
Putri Nur Eliesya Edryyana Muhammad Asnawi, 22, berkata, beliau bersama kembarnya Putri Nur Emiesya Edryana gembira kerana sama-sama berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK).
Menurutnya, sejak kecil dirinya bersama Putri Nur Emiesya tidak pernah berpisah dan bersyukur dapat mengejar cita-cita bersama sehingga ke Kolej Uniti.
“Kami berdua memang mempunyai minat sama dan sebab itu kami melanjutkan pelajaran dalam DPAKK. Muka kami tidak banyak beza dan pernah juga sewaktu di sekolah dahulu, saya minta Emiesya naik ke pentas mewakili saya untuk mengambil hadiah disebabkan saya pemalu.
“Tahun lalu kami melangsungkan perkahwinan dan beza cuma sebulan sahaja. Rumah kami pun dekat iaitu selang dengan sebuah sekolah, memang kami tidak boleh berpisah,” katanya ketika ditemui semalam.
Pada istiadat konvensyen itu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyampaikan diploma kepada 884 graduan terdiri daripada 812 graduan Kolej UNITI Port Dickson dan 72 graduan Kolej UNITI Kota Bharu, Kelantan.
Kesemua graduan melibatkan 348 lepasan pelajar Fakulti Pengurusan Industri Halal, 375 graduan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia serta 89 graduan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan.
MASA
Sementara itu, Nur Khairunnabila Khairul Jeffri berkata, dia dan kembarnya, Nur Khairunnajua merancang masa depan masing-masing cara berbeza.
Katanya, dia memperoleh Diploma Pengurusan Industri Halal (DPIH) manakala adiknya menerima Diploma Pengajian Islam.
“Saya sambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang sama manakala kembar saya pula tidak ikut jejak saya tetapi pilih kerja.
“Kalau dahulu kami banyak buat perkara sama namun sampai umur begini kami buat keputusan ikut kesesuaian masing-masing,” katanya yang bersyukur berjaya menamatkan pengajian bersama.
Dua pasangan kembar lain adalah Hanani ‘Izzati dan Hanani ‘Izzah Sudarmaji, 22, dengan kedua-duanya menerima DPIH.
Selain itu, Amerah Laila dan Amerah Laili Ahmad Rahimy, 22, menerima diploma berbeza iaitu Amerah Laila memperoleh DPIH manakala adiknya pula DPAKK.- UTUSAN