Ejen jual penapis air mengaku salah gagal kemuka borang penyata pendapatan - Utusan Malaysia

Ejen jual penapis air mengaku salah gagal kemuka borang penyata pendapatan

NORZADILA Saman didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan gagal mengemukakan borang penyata pendapatan dalam borang B bagi taksiran 2017 hingga 2021 membabitkan nilai cukai pendapatan sebanyak RM90,606.43.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang wanita yang merupakan pemilik syarikat ejen penjualan dan penyelenggaraan penapis air mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan gagal mengemukakan borang penyata pendapatan dalam borang B bagi taksiran 2017 hingga 2021 membabitkan nilai cukai pendapatan sebanyak RM90,606.43.

Orang Kena Saman (OKS), Noorzadila Saman, 38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Noorhafizah Ishak.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang B bagi tahun taksiran 2017 hingga 2021 pada atau sebelum 30 Jun pada tahun berikutnya kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri dengan tiada sebab munasabah yang membabitkan pendapatan bercukai berjumlah RM646,498.

Sehubungan itu, OKS telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali dan penalti khas sebanyak tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan.

Terdahulu, OKS yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon kepada mahkamah supaya hukuman diringankan atas alasan mempunyai anak-anak yang masih kecil selain ibunya terlantar sakit akibat penyakit kanser ovari tahap tiga.

“Saya menyesali perbuatan dilakukan kerana tidak memahami sistem percukaian secara online (dalam talian).

“Pendapatan saya juga tidak tetap dan bergantung pada hasil jualan, kini ibu saya terlantar sakit di kampung dan saya perlu kerap berulang alik dari Negeri Sembilan ke Kelantan untuk melihat keadaannya,” katanya.

Ketika prosiding, mahkamah kemudian menangguhkan kes tersebut untuk sebutan semula pada 24 November depan.

Tempoh masa itu bagi membolehkan OKS mengemukakan dokumen berkaitan kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa LHDN, Muhammad Afiq Ahmad Tajuddin dan Kwan Huey Shein.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN