SEREMBAN: Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan hari ini sebulat suara meluluskan usul khas mengutuk tindakan kejam rejim Israel yang mencetuskan pergolakan terkini di Palestin.
Usul itu diluluskan pada Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.
Turut diluluskan, penubuhan satu tabung amanah bagi mengutip sumbangan dari segenap masyarakat di negeri ini bagi membantu daripada segi perubatan untuk rakyat Palestin.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun telah mencadangkan usul berkenaan dan ia telah disokong oleh Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Pertang).
Ketika mengemukakan usul berkenaan, Aminuddin yang juga ADUN Sikamat berkata, DUN Negeri Sembilan turut memohon supaya masyarakat antarabangsa bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera mengatasi krisis ini.
“Satu tekanan antarabangsa perlu dilaksanakan segera bagi menghentikan segala kegiatan yang melanggar kegiatan yang melanggar undang-undang dan hak kemanusiaan seperti ini serta semua pihak perlu menghormati hak dan kedaulatan rakyat Palestin di atas muka bumi mereka sendiri.
“Atas prinsip inilah, saya menyeru dewan yang mulia turut sama menggerakkan satu usaha menyalurkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan dengan kadar segera.
“Saya justeru mencadangkan dewan yang mulia ini meluluskan penubuhan tabung amanah bagi mengutip sumbangan daripada segenap lapisan masyarakat Negeri Sembilan ini yang ingin menyumbang untuk membantu perubatan rakyat Palestin,” katanya.
Beliau juga mengesyorkan khutbah Jumaat khas berkaitan isu Palestin diadakan dan dana tabung masjid selama sebulan disediakan bagi membantu rakyat di negara berkenaan.
“Sumbangan syarikat swasta, syarikat kerajaan negeri serta Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) diharapkan dalam usaha menzahirkan soladiriti kepada rakyat Palestin,” katanya lagi.
Jalaluddin yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, sewaktu bangun berucap menyokong usul tersebut turut menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Sembilan agar bersama-sama memberikan sokongan dan bersolidariti terhadap malapetaka yang menimpa rakyat Palestin.
“Misi-misi bantuan kemanusiaan hendaklah digerakkan dengan segera. Kita juga perlu memperbaharui komitmen Malaysia dalam menyokong perjuangan Palestin seperti mana yang pernah dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak, selaku mantan Perdana Menteri Ke-6 yang telah menjadi Perdana Menteri pertama yang menjejakkan kaki ke lokasi konflik di bumi Palestin.
“Kita juga perlu bersama-sama memberikan sokongan penuh terhadap mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam misi bantuan kemanusiaan yang dianjurkan,” katanya.
Beliau urut menzahirkan rasa dukacita kerajaan negeri di atas kejadian dua pelajar siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang juga rakyat Palestin serta 20 orang ahli keluarga mangsa yang terbunuh dalam serangan bom rejim Zionis di Gaza, Palestin, kelmarin.
Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) pula menggesa campur tangan antarabangsa menerusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) demi mempertahankan kedaulatan negara Palestin dan demi hak asasi manusia.
“Isu ini berlangsung selama 78 tahun di mana masyarakat Palestin terhina terjajah di kampung halaman tanpa pembelaan. Supaya pembunuhan tanpa belas kasihan ini dihentikan segera dan satu gencatan senjata yang perlu dilakukan oleh semua pihak,” tegasnya.-UTUSAN.