Dua termasuk CEO syarikat GLC didakwa subahat terima rasuah RM350,000 - Utusan Malaysia

Dua termasuk CEO syarikat GLC didakwa subahat terima rasuah RM350,000

MOHD. Zamry Sulaiman (dua dari kanan) dan Anuar Md. Isa (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan bersubahat dan menerima suapan bernilai RM350,000 bagi membantu sebuah syarikat dilantik melakukan kerja-kerja menaik taraf di Kompleks Bangunan Getah Asli, Kuala Lumpur tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas empat pertuduhan bersubahat dan menerima suapan bernilai RM350,000.

Suapan tersebut adalah bagi membantu sebuah syarikat dilantik melakukan kerja-kerja menaik taraf di Kompleks Bangunan Getah Asli, Kuala Lumpur tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh iaitu CEO berkenaan, Mohd. Zamry Sulaiman, 52, dan seorang lagi tertuduh yang bekerja sendiri, Anuar Md. Isa, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Zamry didakwa telah bersubahat dengan Anuar iaitu secara rasuah menerima suatu suapan wang berjumlah RM250,000 dan RM100,000 daripada seorang individu lelaki.

Ia sebagai upah untuk membantu sebuah syarikat dilantik bagi melakukan kerja-kerja menaik taraf sistem mekanikal dan elektrikal di Kompleks Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur bagi Tetuan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Senawang, Seremban pada 1 Jun dan 11 Oktober 2022.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta yang sama dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan terhadap Anuar pula, di lokasi dan tarikh sama dia didakwa secara rasuah menerima suatu suapan iaitu wang berjumlah RM350,000 melalui cek daripada individu sama dalam akaun bank miliknya sebagai upah bagi membantu syarikat berkenaan bagi tujuan sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Abd. Muntaqim Abdul Aziz dan Fatin Farhana Ismail.

Mohd. Zamry pula diwakili peguam, A.Ashok dan V.Muniandy manakala Anuar diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM terdekat pada Sabtu pertama setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 12 Disember depan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN