Dua pengarah didakwa tidak serah cukai pendapatan syarikat, peribadi - Utusan Malaysia

Dua pengarah didakwa tidak serah cukai pendapatan syarikat, peribadi

LUA WEN SHIN (kiri) dan Syed Azhar Syed Sahat dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan tidak serah borang cukai LHDN di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pengarah sebuah syarikat logistik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan gagal menyerahkan penyata cukai pendapatan syarikat bagi taksiran tahun 2020 dan 2021 berjumlah RM554,829.12.

Tertuduh, Lua Wen Shin, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid dalam bahasa Inggeris.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Wen Shin yang merupakan pengarah syarikat Narita Shipping and Transport Sdn. Bhd., gagal menyerahkan penyata pendapatan cukai taksiran syarikat sebanyak RM376,826.88 bagi tahun 2020 dan RM178,002.24 bagi 2021.

Di mahkamah sama, seorang lagi pengarah sebuah syarikat pembinaan turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan peribadi bagi tempoh lima tahun, iaitu 2016, 2018, 2019, 2020 dan 2021 berjumlah RM129,843.46.

Tertuduh, Syed Azhar Syed Sahat, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Nur Fatin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa gagal menyerahkan penyata pendapatan sebanyak RM6,621.02 bagi tahun 2016 dan RM19,339.84 bagi  2018. 

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa gagal menyerahkan penyata pendapatan sebanyak RM47,187.88 bagi tahun 2019; RM17,015.44 bagi 2020 dan RM39,679.28 bagi 2021.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali serta penalti khas sebanyak tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan  3 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi Wen Shin, manakala  28 November ini bagi Syed Azhar.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Mohamad Norhalim Kamasan, manakala Wen Shin diwakili peguam bela, W. T. Wong dan  Syed Azhar tidak diwakili peguam bela. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN