Dua pegawai imigresen dilepas, dibebas daripada tuduhan seludup pendatang - Utusan Malaysia

Dua pegawai imigresen dilepas, dibebas daripada tuduhan seludup pendatang

HARIS FADZILAH (tiga kanan) dan Norhayati Abu Bakar (empat kanan) bergambar bersama barisan peguam bela mereka selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru melepaskan dan membebaskan kedua-duanya daripada pertuduhan terlibat dalam penyeludupan migran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan dua pegawai kanan Jabatan Imigresen yang didakwa terlibat dalam penyeludupan pendatang asing tanpa asing, tiga tahun lalu.

Keputusan terhadap  Penolong Pengarah, Noryati Abu Bakar, 53, dan pegawai kanan, Haris Fadzilah Abu Bakar, 51, dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Hayati Mat.

Noor Hayati dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

“Prosedur pengeluaran migran yang dibuat kedua-dua tertuduh adalah mengikut tatacara dibenarkan dalam prosedur imigresen. Tiada bukti mengatakan kedua-duanya tahu migran terbabit telah masuk ke negara ini secara salah.

“Oleh demikian, saya berpuas hati bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh. Sehubungan itu kedua-duanya dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu pembelaan dipanggil,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Noryati dan Haris Fadzilah dan tiga yang lain didakwa bersama-sama menjalankan penyeludupan terhadap lapan migran di Lot 21, Jalan Feri di Pelabuhan Pasir Gudang,  kira-kira pukul 12 tengah hari, 15 Jun 2020.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum di bawah akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai 21 saksi dipanggil pihak pendakwaan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 2022.

Noryati diwakili peguam bela, Latheefa Koya dan Zaid Malek, manakala Haris Fadzila diwakili Zamri Idrus, Muhammad Abd. Kadir, Md. Ridzuan Othman dan Khairulnadiah Hasni Yusoff.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Kodesviary.

Sementara itu, mahkamah turut memaklumkan tiga tertuduh lain yang terlibat dalam kes berkenaan, iaitu buruh binaan, M. Amir Nasir, ejen tiket feri, Tengku Jajang Sagita Tengku Redzuan dan pengawal keselamatan di Terminal Feri Pasir Gudang, Razali Mohamad telah dijatuhkan hukuman penjara antara dua hingga empat tahun selepas mereka mengaku bersalah, tahun lalu dan awal tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN