Dua beranak dilepas, dibebas kes miliki arak haram - Utusan Malaysia

Dua beranak dilepas, dibebas kes miliki arak haram

P. Aplanayara (dua dari kiri) dan A. Kartik (dua dari kanan) bersama peguam mereka selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas dua pertuduhan memiliki lebih 1,200 arak haram di sebuah premis di Taman Sri Gelugor, Kuala Pilah, lebih tiga tahun lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Dua beranak dilepas dan dibebas oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah di sini, atas dua pertuduhan memiliki lebih 1,200 arak haram di sebuah premis di Taman Sri Gelugor, Kuala Pilah, lebih tiga tahun lalu.

Majistret, Saiful Sayoti membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap P. Aplanayara, 66, dan anaknya, A. Kartik, 36, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Saiful berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan barang rampasan tersebut adalah milik kedua-dua tertuduh.

Menurut beliau, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan premis kediaman tersebut adalah milik kedua-dua tertuduh justeru tertuduh dilepas dan dibebaskan atas dua pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut mengarahkan barang kes diserahkan kepada pihak Kastam walaupun tiada sabitan.

Dua beranak berkenaan didakwa atas dua pertuduhan bersama pada 20 Februari 2020 dengan pertuduhan pertama iaitu dengan disedari memiliki barang larangan itu yang ditemui di dalam premis (rumah) dengan nilai keseluruhan RM3,494.40.

Pertuduhan kedua pula mereka secara bersama memiliki barang berduti eksais yang tidak dibuktikan telah dibayar duti eksais dengan nilai duti eksais sebanyak RM13,011.60.

Pihak pendakwaan diwakili Ketua Cawangan ABT dan Pendakwaan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan, Nuramalina Muslim manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN