MUAR: Seorang bapa membongkar tindakan isteri dan teman lelakinya yang disyaki mendera dua anak perempuannya.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, perbuatan tersebut terbongkar semasa bapa kandung mangsa memandikan mangsa dan terlihat ada kesan lebam pada kedua-dua anak perempuannya.
“Dia kemudiannya membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, mengenai kejadian tersebut. Bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Muar melakukan tinjauan ke rumah suspek di Jalan Meriam, di sini dan menahan mereka pada 29 September kira-kira pukul 2.30 petang,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, kejadian dipercayai dilakukan ibu kandung kanak-kanak perempuan terbabit berusia 36 tahun, manaka teman lelakinya berusia 38 tahun.
Raiz Mukhliz berkata, kedua-dua mangsa berusia lima dan enam tahun disyaki dipukul menggunakan rotan oleh ibu kandung mereka yang bukan warganegara Malaysia, manakala suspek lelaki adalah lelaki tempatan.
“Suspek wanita disahkan tidak tinggal bersama suaminya, sebaliknya dengan suspek lelaki. Dua beradik itu telah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Bapa kandung mangsa yang merupakan warga tempatan kini berada di hospital menjaga kedua-dua anaknya,” katanya sambil memberitahu kedua-dua suspek direman hingga 6 Oktober ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN