Didenda RM23,000, penalti khas RM1.28 juta culas bayar cukai - Utusan Malaysia

Didenda RM23,000, penalti khas RM1.28 juta culas bayar cukai

YUSOF AHMAD didenda RM23,000 dan penalti khas RM1.284 juta selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan gagal mengemukakan borang pendapatan bercukai bagi tahun 2019, 2020 dan 2021 di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pengarah syarikat pembinaan dan penyelenggaraan didenda sebanyak RM23,000 dan penalti khas RM1.284 juta oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini kerana gagal mengemukakan penyata pendapatan bercukai taksiran tiga tahun berturut-turut.

Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman itu terhadap Yusof Ahmad, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Yusof yang merupakan pengarah Syarikat EMF Energy Sdn. Bhd., didakwa gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan dalam Borang C kepada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh tujuh bulan dari tarikh penutupan akaun, iaitu pada atau sebelum 31 Julai 2020 bagi taksiran tahun 2019 dan pada atau sebelum 31 Julai 2021 bagi taksiran 2020.

Dia didapati gagal mengemukakan penyata pendapatan bercukai berjumlah RM1.22 juta yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM293,124 bagi tahun 2019.

Bagi tahun 2020 pula, tertuduh gagal mengemukakan penyata pendapatan bercukai sebanyak RM562,364 yang boleh dikenakan cukai RM134,967.

Terduduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, Yusof didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang C bagi tahun taksiran 2021 bagi pendapatan syarikat yang sama di bawah Seksyen 112(1) ACP 1967.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa LHDN, Mazlan Alias, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Yusof dalam rayuan memohon mahkamah meringankan denda dan pembayaran penalti khas dibuat secara ansuran.

Walau bagaimanapun, Mazlan dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana tertuduh adalah pesalah cukai tegar apabila syarikat sama gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan, iaitu Borang C bagi tahun taksiran 2019 dan 2020.

Syarikat itu juga pernah dikompaun bagi kesalahan gagal mengemukakan Borang C bagi tahun taksiran 2003, 2009, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM15,000 dan penalti khas sebanyak RM1.284 juta yang dibayar secara ansuran selama 12 bulan bermula hari ini dan didenda RM8,000 bagi pertuduhan kedua.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN