Cuepacs tuntut percepat kajian SSPA kakitangan awam - Utusan Malaysia

Cuepacs tuntut percepat kajian SSPA kakitangan awam

Kakitangan kerajaan Gred 41 ke bawah antara paling ramai membuat pinjaman peribadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut komitmen kerajaan mempercepatkan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) supaya ia dapat dilaksanakan segera pada tahun hadapan. 

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, SSPA yang baharu itu adalah amat penting bagi memastikan gaji yang diterima oleh penjawat awam ketika ini sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa yang begitu mencengkam.

Menurut beliau, ini kerana bayaran insentif hanyalah bersifat sementara dan tidak mampu menyelesaikan masalah pendapatan yang tidak setara dengan peningkatan kos sara hidup. 

“Pelaksanaan SSPA yang baharu serta komprehensif adalah perkara yang dituntut oleh penjawat awam dan perkara ini telah disampaikan kepada kerajaan melalui sesi libat urus yang telah dilaksanakan sebelum ini. 

“Cuepacs meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk merangka usaha yang boleh mempercepatkan pelaksanaan SSPA baharu seperti yang dijanjikan kepada semua penjawat awam,” kata beliau dalam kenyataan. 

Terdahulu, Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2024 berkata, kerajaan sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan tahun 2012.

PERKHIDMATAN

Beliau menjelaskan, Kajian SSPA akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka dimuktamadkan penghujung tahun hadapan. 

Bagaimanapun, kerajaan bersetuju memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000  kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak. 

Kerajaan juga akan memberi RM1,000 kepada semua kakitangan Jawatan Utama Sektor Awam melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, Cuepacs mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan memberikan Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam kepada semua penjawat awam sementara menunggu kajian SSPA dimuktamadkan. 

Beliau berkata, bayaran itu jelas membuktikan bahawa kerajaan komited dalam menjaga kebajikan warga perkhidmatan awam seperti yang sering disebut-sebut oleh Perdana Menteri. 

“Pemberian insentif secara sekali gus pada Februari 2024 juga dilihat tepat apabila ia boleh mengurangkan beban persediaan bagi perbelanjaan persekolahan anak-anak serta persiapan menyambut Ramadan dan Syawal. 

MENYALURKAN

“Komitmen kerajaan dalam menyalurkan peruntukan sehingga RM2.4 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam diharapakan dapat membantu menyelesaikan masalah perumahan penjawat awam terutama mereka yang bertugas di bandar-bandar besar serta kawasan yang nilai pasaran hartanah yang tinggi.

“Langkah ini juga dapat mengurangkan masalah penjawat awam yang terpaksa tinggal jauh daripada lokasi mereka bekerja disebabkan ketiadaan kediaman mampu milik di kawasan tersebut. 

“Bagaimanapun Cuepacs berharap pembinaan kediaman mampu milik untuk dibeli oleh penjawat awam dilaksanakan semula oleh kerajaan.

“Ia adalah langkah yang lebih tepat untuk membantu penjawat awam memiliki kediaman sendiri berbanding menyewa atau tinggal di kuarters kerajaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya