BENTONG: Calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Kasim Samat hari ini mengimbau kenangan kembali semula ke sekolah lamanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (LKTP) Felda Chemomoi di sini hari ini.
Beliau yang mesra dipanggil cikgu Kasim hadir ke sekolah itu pada pukul 8.20 pagi bagi membuang undi sempena PRK tersebut.
Cikgu Kasim mengajar di SMK (LKLP) Felda Chemomoi selama lapan tahun dari 1991 hingga 1999.
Ketika ditemui, Kasim berkata, kehadirannya mengimbau kenangan mengajar di sekolah berkenaan.
“Ya, kehadiran saya pada hari ini mengimbau kenangan mengajar di sekolah ini sejak 1991,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
PRK DUN Pelangai membabitkan pertembungan tiga penjuru antara Kasim, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
Kerusi N36 Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Susulan itu, SPR menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober hari pengundian PRK DUN Pelangai membabitkan 16,456 pemilih berdaftar.
Johari yang kali pertama bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menang di Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.
Allahyarham menewaskan Kasim (3,260 undi); Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi. – UTUSAN