Ceroboh kebun, lelaki didenda RM3,000 - Utusan Malaysia

Ceroboh kebun, lelaki didenda RM3,000

. KARNAN didenda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah, hari ini atas kesalahan menceroboh kebun individu lain di Kampung Semin, Rembau, pada hujung bulan lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang lelaki didenda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Rembau di sini, hari ini atas kesalahan menceroboh kebun milik individu lain di Kampung Semin, Rembau, pada hujung bulan lalu.

Tertuduh, B. Karnan, 44, membuat pengakuan bersalah berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Majistret turut menetapkan hukuman empat bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.

“Mengambil kira berdasarkan kesan pencerobohan berimpak besar kepada pemilik tanah dan kepentingan awam, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dan empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan,” tegas Saiful.

Berdasarkan pertuduhan, pada 27 September lalu kira-kira pukul 11.30 pagi di Kampung Semin, Karnan didapati telah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tanah milik seorang lelaki berusia 40 tahun.

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 447 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan penjara sehingga enam bulan, atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pada tarikh, masa dan lokasi yang sama, pengadu mendapati tanahnya sudah diceroboh dan terdapat kenderaan jenis excavator (mesin pengorek).

Pengadu turut melihat pokok getah dan pokok-pokok kayu hutan bersaiz besar di dalam kawasan tanahnya telah ditebang tanpa pengetahuan serta yakin tindakan tersebut bertujuan untuk menjual semula pokok kayu yang sudah ditebang.

Hasil siasatan mendapati laporan daripada juruukur menunjukkan kawasan yang diceroboh masuk adalah dalam sempadan tanah pengadu dan bukannya lot bersebelahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Amirul dalam pendakwaannya memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya lebih berhati-hati melaksanakan perniagaan (membersihkan kebun) pada masa akan datang.

“Kesilapan seperti ini mendatangkan kerugian kepada pihak ketiga seperti pemilik tanah yang bersebelahan akibat kecuaian tertuduh,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN