KULAI: Akibat kurangnya ilmu berkaitan kewangan, segelintir rakyat termasuk golongan cerdik pandai turut menjadi mangsa sindiket penipuan.
Lebih membimbangkan, jumlah mangsa sindiket penipuan atau scammer semakin meningkat saban tahun.
Justeru, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap masyarakat supaya lebih cakna dan berfikiran rasional apabila berdepan dengan tawaran kewangan yang terlalu menguntungkan.
“Kebiasaannya tawaran-tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan adalah satu bentuk penipuan dan wajarlah untuk dijauhi,” katanya selepas menutup Karnival Celik Kewangan Johor di pusat beli-belah AEON Kulai, di sini yang turut dihadiri Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Ahmad berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat mewujudkan subjek pendidikan kewangan dan keusahawanan di peringkat sekolah menengah yang diyakini dapat meningkatkan kadar literasi kewangan dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.
“Kira-kira 60 peratus daripada kira-kira 500,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak melanjutkan pengajian mereka ke tahap lebih tinggi. Jadi sekiranya subjek berkaitan kewangan dapat diajar di peringkat sekolah menengah, ia pasti akan melengkapi majoriti rakyat kita dengan ilmu kewangan asas yang diperlukan.
“Jika itu dapat dilaksanakan seperti subjek Matematik, Bahasa Inggeris, Geografi dan lain-lain, pasti rakyat negara ini tidak buta kewangan sehingga mudah menjadi mangsa scammer, malah mungkin negara kita jadi lebih maju apabila penduduk celik kewangan,” katanya.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, bagi melaksanakan perkara itu, pihaknya menerusi Jaringan Pendidikan Kewangan yang melibatkan lapan agensi termasuk KPM dapat mengesyorkan subjek itu di peringkat sekolah menengah pada masa depan. – UTUSAN