JOHOR BAHRU: Dua suspek kes pergaduhan menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan kematian di sebuah premis di Jalan Terus di sini Jumaat lalu merupakan warga Singapura.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kegagalan suspek utama yang merupakan lelaki berusia 26 tahun itu mengemukakan pasport menyebabkannya turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1953.
“Suspek mengaku warga asing, tetapi gagal mengemukakan pasport. Kita juga masih menyiasat sama ada suspek mempunyai rekod orang dikehendaki di Singapura,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jumaat lalu, polis menahan dua lelaki warga asing berusia 26 dan 29 tahun serta seorang wanita tempatan berumur 33 tahun bagi membantu siasatan kes pergaduhan menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki.
Kesemua suspek dikesan menaiki sebuah kenderaan jenama Audi dalam keadaan mencurigakan di kawasan Jalan Tanjung Puteri, di sini kira-kira pukul 5.30 pagi dan pegawai dan anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan cuba menghampiri untuk membuat pemeriksaan.
Semasa pegawai dan anggota cuba membuat pemeriksaan lanjut, pemandu kenderaan itu terus memecut laju sehingga ke Jalan Tun Dr. Ismail berhadapan Istana Besar Johor Bahru sebelum gagal mengawal kenderaan lalu terbabas.
Ketiga-tiga suspek yang ditangkap itu turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod lampau mendapati salah seorang mempunyai dua kes berkaitan dadah.
Terdahulu, kedua-dua suspek yang merupakan penumpang kereta mewah itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kes kemalangan melanggar pagar Istana Besar Johor Bahru dan berada di bawah pengaruh dadah.
Suspek wanita itu direman selama satu hari dan suspek lelaki pula direman dua hari, manakala suspek utama yang juga pemandu kereta mewah itu masih dalam disiasat bagi mengetahui punca sebenar kes pergaduhan itu.
Mangsa lelaki yang maut mempunyai kesan tikaman di bahagian dada, perut, bahu, belakang badan, jari dan bahagian pipi. – UTUSAN