Brother Motor hulur sumbangan untuk Palestin - Utusan Malaysia

Brother Motor hulur sumbangan untuk Palestin

SAADON SULAIMAN (lima dari kanan) dan Jefridin Atan (tengah) melancarkan tabung untuk membantu rakyat Palestin sempena Festival D’ Kukup di Taman Rekreasi Pantai Rambah, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Ribuan ahli Brother Motor  turut bersolidariti dengan menghulurkan sumbangan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza yang kini diserang rejim Zionis.

Dalam program ‘Motorday’ sempena hari terakhir Festival D’ Kukup di Taman Rekreasi Pantai Rambah, di sini semalam, kira-kira 2,000 ahli Brother Motor mengedarkan tabung yang diselaraskan oleh MyCare Johor bagi membantu rakyat Palestin.

Dalam ucapan ringkasnya, Penolong Pengurus MyCare Johor, Saadon Sulaiman berkata, rakyat di seluruh dunia tidak boleh membiarkan Israel terus bermaharajalela membunuh rakyat Palestin setiap hari dengan mengebom rumah, hospital dan membunuh orang awam termasuk kanak-kanak tanpa belas kasihan.

Menurutnya, dunia wajar bertindak segera bagi  menghentikan serangan tersebut bagi mengelakkan lebih ramai rakyat Palestin yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman tentera Zionis.

“Semoga sumbangan yang dihulurkan oleh  Brother Motor dapat meringankan beban yang ditanggung oleh rakan-rakan kita sesama umat Islam yang sedang menderita ketika ini,” katanya.

Program ‘Motorday’  itu bukan sahaja disertai penunggang motosikal dari daerah Pontian, malah turut mendapat sokongan daripada penunggang dari daerah lain dari negeri ini serta Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan Singapura.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, semua umat Islam wajar mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamaddun yang dilakukan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Katanya, tindakan tidak berperikemanusiaan itu menunjukkan Israel tidak menghormati undang-undang antarabangsa kerana sewenang-wenangnya melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

“Saya terharu dengan sokongan yang diberikan oleh Brother Motor yang hadir sebagai tanda kebersamaan kita sebagai umat Islam dengan nasib menimpa umat Islam di Palestin ketika ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Brother Motor Pontian, Mohd. Firdaus Haryanto berkata, pihaknya terharu dengan kehadiran kira-kira 2,000 peserta pada program itu.

“Diharap dengan sedikit sumbangan dapatlah kita sama-sama meringankan beban dan kesengsaraan yang sedang dialami rakan-rakan kita di sana ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya